Maut bertembung lori ayam

Iklan
Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit ditempat duduknya.
BIDOR - Seorang pemandu lori sayur maut selepas bertembung dengan lori ayam di KM67.8 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 3.30 petang, Lee Toong Choon, 50, berasal dari Kampung Baru Bidor maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa memandu dari arah Tapah menuju ke Bidor.

"Siasatan awal mendapati lori ayam yang dipandu lelaki berusia 42 tahun itu pula dari arah Bidor menghala ke Teluk Intan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai lori mangsa telah bertembung dan melanggar lori ayam terbabit di simpang tiga jalan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pertembungan itu menyebabkan lori mangsa terbalik dan mangsa didapati tersepit ditempat diduduknya.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan maut ditempat kejadian dan khidmat bomba dipanggil untuk mengeluarkan mayat mangsa.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.