SETIU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Besut merampas 125 unit jam tangan tiruan jenama popular bernilai RM2,500 dalam Ops Jeriji di sebuah premis perniagaan di sini semalam.
Ketua Cawangan KPDNHEP Besut, Azani Ismail berkata, dalam serbuan jam 12 tengah hari bersama wakil pemilik cap dagang berdaftar itu pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun bagi membantu siasatan.
"Operasi di sebuah rumah yang didaftarkan sebagai premis perniagaan dijalankan adalah susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki jam tangan yang dijual peniaga berkenaan adalah tiruan.
"Ia akhirnya berjaya membongkar aktiviti peniaga tidak beretika yang ingin mendapatkan keuntungan dengan cara mudah sehingga mengabaikan kepentingan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azani, lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.
Katanya, jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, KPDNHEP menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama dalam pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik peniaga tidak beretika yang cuba mengambil keuntungan dengan mudah.
"Kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan maklumat melalui saluran yang disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.