Rekod bacaan suhu pelanggan tak masuk akal

Iklan
Terdapat bacaan suhu bukan pada paras normal yang direkodkan menunjukkan pemilik premis tidak menitikberatkan rekod kesihatan pelanggan yang berkunjung ke premis mereka.

KUALA TERENGGANU - Buku rekod bacaan suhu badan pelanggan di sebuah premis makanan yang didapati mencatatkan bacaan sehingga paras 24 darjah Celsius adalah tidak masuk akal kerana ia bukan berada pada paras normal.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, secara keseluruhan kebanyakan premis perniagaan yang diperiksa menerusi Ops Patuh Khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) tidak menitikberatkan bacaan suhu pada badan pelanggan.

Iklan
Iklan

"Terdapat premis yang diperiksa merekodkan suhu badan pada paras 24 Celsius, 31 Celsius dan 34 Celsius. Ini adalah bacaan yang tidak normal pada manusia yang sihat dan tidak masuk akal.

"Ia juga menunjukkan pemilik premis tidak menitikberatkan bacaan suhu badan pelanggan yang berkunjung ke premis mereka sama ada tiada yang menjaga atau ditugaskan mengambil rekod suhu badan.

Iklan

"Jadi kita harap kepada semua pemilik premis supaya dapat mengubah perkara ini bagi mengelak penularan pandemik koronavirus (Covid-19) daripada menular dalam kalangan masyarakat di negeri ini," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan Ops Patuh Khas PKPP di daerah ini semalam.

Terdahulu, sebanyak 111 premis makanan di negeri ini diarah tutup manakala 107 premis lagi dikompaun RM107,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang ditetapkan.

Iklan

Jumlah itu termasuk 14 premis yang dihentikan operasinya di daerah Kuala Terengganu kerana melanggar SOP menerusi operasi yang dijalankan semalam.

Kesemua kesalahan terutama membabitkan tiada penjarakkan sosial antara meja pelanggan dan tidak merekodkan bacaan suhu pekerja dan pelanggan dikesan dalam Operasi Patuh Khas PKPP Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sejak 10 Jun lalu.