KANGAR - Mahkamah Sesyen Kangar menetapkan 15 Februari ini untuk mendengar semula sebutan kes bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang didakwa mencabul seorang remaja perempuan bawah umur, tahun lalu.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail menyerahkan dokumen kes itu kepada Shahidan, pagi ini.
Shahidan, 68, yang diwakili peguam Thalia Rohaina Abdul Latiff, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Zuhair Ahmad Zakuan, tiba di mahkamah kira-kira 8.30 pagi.
Shahidan, yang juga Ahli Parlimen Arau, didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga bahu seorang remaja perempuan berumur 15 tahun 7 bulan dalam kereta di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 11.30 malam, 20 Oktober 2018.
Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Pada 8 Januari lalu. Ainul Shahrin menetapkan 18 Februari untuk penyerahan dokumen dan 25 Februari bagi mendengar sebutan semula kes itu selepas Shahidan tidak hadir untuk menerima dokumen kes kerana dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.
ARTIKEL BERKAITAN: Shahidan Kassim tidak hadir ke mahkamah
Pada 21 Oktober lalu, seorang remaja perempuan yang juga penyanyi sebuah kumpulan busker ditaja Shahidan membuat laporan di Balai Polis Kangar mengenai dakwaan dia dicabul oleh Ahli Parlimen Arau itu namun menarik balik laporan berkenaan beberapa jam kemudian.
Peguam pemerhati yang mewakili keluarga dan remaja perempuan itu, Mohd Hapiz Rajali berkata, mangsa dan keluarganya berhasrat untuk tidak meneruskan kes berkenaan. - Bernama