KUALA LUMPUR - Kempen cabutan Tiket Emas dilancarkan Kumpulan Suria KLCC yang sepatutnya berakhir 19 Julai lalu akan dilanjutkan hingga 2 Ogos depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, kempen itu memberi ganjaran hebat kepada pelanggan bagi setiap perbelanjaan minimum di tiga pusat beli-belah termasuk Suria KLCC, Alamanda di Putrajaya dan Mesra Mall di Kuala Terengganu.
Menurutnya, pelanggan berpeluang meraih hadiah utama iaitu baucar beli-belah bernilai RM5,000 di Suria KLCC, baucar bernilai RM1,000 di Alamanda dan RM1,500 untuk membeli-belah di Mesra Mall.
"Kempen ini berjaya menarik perhatian orang ramai kerana ganjaran diberikan. Sehingga 22 Julai lalu, seramai 44 pemenang sudah membawa pulang baucar beli-belah bernilai RM5,000 di Suria KLCC dan 33 pemenang memenangi baucar beli-belah bernilai RM1,500 dan RM1,000 di Mesra Mall serta Alamanda.
"Oleh kerana mendapat sambutan hebat dan menggalakkan daripada pelanggan dan pengunjung, kempen tersebut dilanjutkan sehingga 2 Ogos ini di pusat beli belah Suria KLCC; 9 Ogos (bagi pusat beli-belah Alamanda) dan hingga 30 Julai ini bagi pusat beli-belah Mesra Mall,” katanya menerusi satu kenyataan.
Andrew berkata, pihaknya turut menawarkan peluang memenangi penginapan tiga hari dua malam di ‘Park Suite’ mewah untuk dua orang di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur kepada pembeli yang mengambil bahagian.
Katanya, lima pemenang bertuah akan dipilih secara rawak setelah kempen berakhir pada 2 Ogos ini.Dalam pada itu, Andrew berkata, sejajar dengan usaha kerajaan untuk merangsang sektor pelancongan negara, Suria KLCC akan melancarkan kempen Cuti-Cuti KLCC yang akan berlangsung sejurus Kempen Cabutan Tiket Emas berakhir.
Jelasnya, kempen menawarkan pakej percutian yang menarik bertujuan untuk mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan domestik itu akan melibatkan kerjasama tiga pihak antara Suria KLCC, Malaysia Airlines (MAS) dan Mandarin Oriental.
"Ia juga bertujuan mengajak orang ramai untuk cuti cuti di dalam Malaysia menggunakan perkhidmatan MAS, menginap di Mandarin Oriental dan berbelanja di Suria KLCC,” katanya.