SETAPAK - Pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung berkongsi detik pengislaman pasangan kembar di pusat dakwah Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Setapak, semalam.
Menerusi perkongsian di akaun rasmi Facebook miliknya, Firdaus, menzahirkan rasa bertuah dan syukur setelah Mary Ann Lorenzo mengucap syahadah pada Jumaat lalu dan semalam, kakak kembarnya pula, Mary Jane Lorenzo mengikut jejak sama masuk Islam.
Menurut Firdaus, beliau sebelum itu menerangkan mengenai rukun iman dan rukun Islam kepada mereka.
Bukan itu sahaja suasana yang sebelum ini tenang bertukar syahdu setelah Mary Jane menitiskan air mata.
"Sewaktu memimpinnya untuk mengucapkan dua kalimah syahadah, Mary Jane menitiskan air mata dan menangis.
"Saya membiarkan dia menangis sebelum meneruskan dua kalimah syahadah. Sejurus selesai sahaja dua kalimah syahadah, dia menangis lagi," kongsinya.
Bercerita lanjut, Firdaus memberitahu, sesiapa sahaja yang memeluk Islam akan merasakan bebanan 'dilepaskan' dan mereka akan mendapat ganjaran dua kali ganda pahala.
"Ya, saya faham keadaan apabila seseorang memeluk Islam, merasakan bebannya terangkat.
"Saya memberitahu Mary Jane bahawa Nabi Muhammad SAW mengatakan apabila seorang beragama Kristian memeluk Islam, mereka akan mendapat ganjaran dua kali ganda pahala," katanya yang mendapat perhatian netizen.
Netizen sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka dan berharap terus istiqomah dalam mempelajari agama Islam.
"Alhamdulillah... syukur pada ALLAH, hidayah milik ALLAH. Dia berikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya," kata Cikgu Nor Awang.
Manakala Maszara berkata,"Alhamdulillah, semoga anda berdua dalam lindungan ALLAH SWT".