Polis tumpas dua sindiket dadah terbesar

Iklan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din menunjukkan antara pelbagai jenis dadah yang dirampas dianggar bernilai RM25.6 juta pada sidang akhbar khas di Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah terbesar dengan menahan seramai 23 individu dan merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM25.6 juta.

Kesemua suspek ditahan menerusi operasi pada 22 hingga 24 Julai lepas di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pahang.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata, kesemua suspek yang ditahan dalam sindiket itu, berusia lingkungan 25 hingga 57 tahun.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan dalam dua operasi khas dadah iaitu Op Heron dan Op Watercress dipercayai bergiat aktif menyeludup dadah ke Indonesia dan Sabah sejak lima bulan lepas.

Iklan

"Tiga belas serbuan dilancarkan dalam dua operasi itu. Seramai 17 lelaki tempatan, empat wanita tempatan selain dua wanita masing-masing warga Vietnam dan Thailand dipercayai terlibat sebagai ketua dan ahli sindiket telah ditahan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Ramli berkata, pelbagai jenis dadah yang dirampas melibatkan berat keseluruhan 296.8 kilogram (kg) antaranya syabu seberat 68kg dan pil ekstasi 228.6kg selain 208 biji pil kuda dan 750 mililiter cecair syabu (methamphetamine).

Iklan

Katanya, semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan lebih sejuta penagih untuk satu-satu masa.

Mengulas lanjut Ramli berkata, sindiket itu dipercayai bertindak menjalankan aktiviti pengedaran dadah berkenaan menerusi pantai di Johor dan Negeri Sembilan selain di Sabah dengan menggunakan laluan udara.

"Polis dalam masa sama turut menyita sejumlah 15 kereta, wang tunai selain barang kemas dan jam tangan yang bernilai lebih RM2.3 juta dalam serbuan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama empat hari dari tarikh ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis akan terus mengesan saki baki ahli sindiket yang bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah ini,” katanya. - Bernama