PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) sedang mengintai tiga syarikat gergasi untuk memohon penajaan pasukan Lang Merah.
Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa siri rundingan telah diadakan dan ketiga-tiga syarikat berkenaan menunjukkan maklum balas positif.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, bagaimana pun pihaknya hanya akan mengumumkan penaja baharu tersebut selepas rundingan selesai.
"Saya berusaha selesaikan kemelut KFA antaranya dengan mengadakan pertemuan bersama beberapa syarikat utama dalam negara, untuk menyumbang kepada pembangunan bola sepak, sekurang-kurangnya mereka dapat bantu kita keluar dari kemelut kewangan,” katanya, pada sidang media selepas perhimpunan bersama penjawat awam Kedah dan pelancaran sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Wisma Darul Aman hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, banyak aspek harus diambil kira dalam rundingan berkenaan memandangkan negara masih berdepan pasca koronavirus (Covid-19).
"Ada kemungkinan tajaan itu tidaklah besar sangat seperti sebelum ini, disebabkan situasi semasa. Kita pun tidak berhasrat ubah penampilan pasukan kerana perbelanjaan besar, namun perlu lihat permintaan penaja dan pelbagai aspek lain seperti ketiadaan penonton ketika perlawanan,” katanya.
Menurutnya, setakat ini KFA hanya mendekati syarikat dalam negara dan tidak berhasrat mencari tajaan dari luar negara.
"Belum ada cadangan intai tajaan luar seperti Qatar Airways,” katanya sinis.
Pada Disember lalu, KFA turut mengintai peluang untuk mendapatkan syarikat penerbangan gergasi, Qatar Airways sebagai penaja berdepan saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Setiausaha Kehormatnya ketika itu, Mohd Asmirul Anuar Aris mengesahkan kertas cadangan telah dihantar kepada syarikat berkenaan namun belum menerima maklum balas.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, walaupun berdepan kekangan kewangan, pihaknya yakin pemain hebat Lang Merah tidak akan meninggalkan pasukan itu mahupun meminta gaji terlalu tinggi.
"Kemampuan kita terhad, kerana banyak sektor lain juga harus diberi perhatian. Tentulah kita mahu pasukan menang banyak piala dan hebat, namun pada masa sama harus ukur keupayaan sendiri.
Saya beri jaminan kepada peminat Lang Merah, kita akan terus majukan sukan ini dan tidak akan berundur walau berdepan kekangan kewangan,” katanya.
Muhammad Sanusi sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk tidak menggunakan kantung negeri bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain, sebaliknya mencari penaja yang berminat.
Kemelut gaji pemain yang dikatakan tertunggak lima bulan akan dibincangkan dalam Mesyuarat KFA pada 3 Ogos depan.