KUALA LUMPUR - Tiada sebarang penggantungan lesen penjualan arak sebaliknya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya membekukan pengeluaran lesen baharu.
Mengenai bila lesen baharu itu akan dikeluarkan, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, Lembaga Pelesenan berkaitan telah pun dilantik.
Menurutnya, lembaga tersebut dijangka bersidang pada bulan depan dan berharap supaya garis panduan baharu yang lebih kemas dan teratur bagi pengeluaran lesen penjualan arak akan diperoleh.
"Ini bagi mengelak atau pun sekurang-kurangnya membantu mengurangkan peristiwa-peristiwa akibat daripada pemandu yang dikatakan mabuk mengancam nyawa dan sehingga menyebabkan kematian.
"DBKL berpendapat adalah wajar dalam keadaan kita sedang meneliti apakah kaedah-kaedah penambahbaikan yang boleh dilakukan demi kepentingan awam.
"Maka lesen-lesen baharu tidak dikeluarkan sehinggalah satu garis panduan yang lebih kemas dan teratur dapat kita adakan,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai rasional keputusan DBKL menggantung lesen penjualan arak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan bila pengeluaran lesen akan disambung.
Dalam pada masa sama, Annuar berkata, akan ada perdebatan di Dewan Rakyat kerana ada Rang Undang-Undang yang diperketatkan.
Menurutnya, ahli Parlimen boleh membahaskan usul dan memberi cadangan tertentu dalam menambah baik pengawalan pengeluaran lesen dan penggunaan arak.
"Untuk makluman Yang Berhormat, lesen-lesen yang diperbaharui setakat ini yang dikeluarkan kerajaan terdahulu sebanyak 2,096, tamatnya bulan September.
"Setakat ini yang pohon untuk perbaharui 200 lebih, masih ada lagi masa kerana lesen-lesen itu belum lagi tamat dan berkaitan lesen baharu hanya ada 69 permohonan, itu baru mohon, masih boleh dipertimbangkan,” katanya.