‘Catatan sedih sejarah politik negara’

Iklan
Datuk Nazir Akhtar Hussin

KUALA LUMPUR - Keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan Datuk Seri Mohd Najib Razak bersalah dalam semua tujuh tuduhan kes SRC International hari ini disifatkan satu catatan sedih dalam sejarah politik negara.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Akhtar Hussin berkata keputusan ini merupakan risiko dan cabaran kepada pemimpin politik yang berjiwa rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam keadaan semasa Najib menjadi Perdana Menteri dengan membantu rakyat, ada banyak musuh politik yang tidak senang dan akan cuba menggagalkannya.

"Kita terpaksa menerima keputusan Mahkamah hari ini dengan hati yang berat. Namun percayalah akhirnya ALLAH jua hakim yang maha adil. Jika tidak di dunia, di akhirat nanti.

Iklan

"Saya juga percaya keputusan ini tidak akan dapat memadamkan catatan sejarah kegemilangan dan kemakmuran negara di bawah pimpinan Najib Razak selama sembilan tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semasa pentadbiran Najib, boleh dikatakan tiada kumpulan rakyat diabaikan sama ada bantuan untuk rakyat miskin dan kumpulan B40, mahu pun peluang ekonomi dan perniagaan yang lebih baik untuk kumpulan M40 dan T20.

Iklan

Dari segi pembangunan, Najib merangka sesuatu yang lebih menyeluruh dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak.

"Perjuangan mendapat keadilan buat Najib Razak tidak akan ternoktah di sini. Kita akan teruskan perjuangan sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Semoga suatu hari nanti keadilan memihak kepada Najib,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tujuh pertuduhan tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan yang dikenakan.