PUTRAJAYA - Akibat ingkar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) oleh pemilik kedai makan yang pulang dari India, Kedah kembali mencatatkan lima kes baharu positif koronavirus (Covid-19).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks iaitu kes 8,937 merupakan seorang pemastautin tetap yang kembali ke Malaysia dari India pada 13 Julai.
"Saringan Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif," katanya.
Menurutnya, arahan HSO dikeluarkan terhadapnya namun didapati tidak mematuhi syarat perintah tersebut.
"Kes itu di dalam tindakan pihak berkuasa," katanya.
Beliau menambah, saringan ulangan didapati positif dan dia telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.
"Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga 28 Julai, 28 kontak rapat telah disaring.
"Daripada jumlah tersebut lima dikesan positif Covid-19 dan 23 negatif," katanya.
Menurutnya, empat orang daripada kes positif dalam kluster ini adalah pekerja kedai tersebut yang merupakan warga asing.
"Seorang lagi adalah ahli keluarga kepada kes indeks," katanya.
Tambah beliau, kesemua kes positif ini berkongsi tempat kediaman dengan kes indeks.
"Premis yang dikenalpasti ini telah ditutup bagi proses pembersihan dan nyahkuman," katanya.
Kluster dinamakan sebagai Kluster PUI Sivagangga.
Sementara itu, satu lagi kluster baharu dikesan di pasar Satok, Sarawak, dikenali sebagai Kluster Satok, empat disahkan positif Covid-19.
"Saringan dijalankan melibatkan 299 peniaga pasar dan 225 adalah negatif," katanya.
Menurutnya, empat kes positif Covid-19 yang dikesan itu tidak menunjukkan sebarang gejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.
"Aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan di pasar tersebut sedang dilaksanakan termasuk proses pembersihan dan nyahkuman bagi premis serta kemudahan berkaitan," katanya.