Rukun Negara yang kian tersisih

Iklan

SEWAKTU bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Paloh 3, Gua Musang, Kelantan, kesemua murid termasuk saya dan guru-guru akan membacakan Rukun Negara selain menyanyikan lagu Negaraku pada perhimpunan mingguan sekolah yang diadakan awal pagi Ahad.

Bergema laungan Rukun Negara daripada murid-murid dan guru-guru yang berdiri tegak penuh patriotisme.

Iklan
Iklan

Itu zaman 1990-an, namun pada hari ini kita telah berada pada tahun 2020 yang digembar-gemburkan Malaysia mencapai negara maju seiring Wawasan 2020 yang diperkenalkan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad. Namun sayangnya, di sebalik kerakusan membina status negara maju, terhakis nilai kecintaan pada negara dalam diri.

Kita lihat di dada-dada akhbar, beribu angka rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara ingkar membuat saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah sehingga memaksa polis memburu mereka dan bakal dihadapkan ke mahkamah.

Iklan

Tidak cukup dengan itu, di mana nilai patriotisme apabila dua wanita sanggup menconteng mural pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong dengan kata-kata kesat.Kedua-dua kes itu adalah contoh di mana tanggungjawab terhadap negara pada baris kedua Rukun Negara diabaikan. Di mana silapnya? Siapa yang salah? Tidak lain tidak bukan, tepuk dada tanya diri, ia ada pada anda, saya dan kita semua.

Lima Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan yang diguna pakai sejak ia diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, digarap indah agar dihayati dan difahami oleh segenap warga.

Iklan

Selepas kejadian rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, semua pihak sama ada kerajaan, swasta dan masyarakat amat memberi perhatian dan fokus untuk mempromosi Rukun Negara ke seluruh negara. Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan, Rukun Negara tidak lagi diberi perhatian dan tumpuan.

MatlamatPemegang Amanah Yayasan Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Rukun Negara berasaskan kepada lima prinsip yang berhubung dengan kehidupan masyarakat manakala matlamatnya pula tertumpu kepada memperkasakan Malaysia sebagai sebuah negara kukuh dan mempunyai kepelbagaian nilai serta menjadikannya alat pembentukan negara.

Langkah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan logo sambutan Rukun Negara ke-50 awal bulan ini dilihat bertepatan pada masanya.

Pakar Sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shattar Sabran menyifatkan Rukun Negara sebagai tiang seri Malaysia.

"Kita perlu patuh kepada Rukun Negara bagi memastikan kelangsungan kemajuan tanah air,” katanya.Menurutnya, dunia termasuk Malaysia berada dalam keadaan tidak menentu selepas dilanda pandemik Covid-19.

"Penghayatan Rukun Negara di segenap segi perlu dilakukan bagi memulihkan semula keadaan terutamanya sektor ekonomi dan sosial,” katanya.

Mohammad Shattar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris turut senada dengan Lam Tyhe agar aktiviti mempromosikan Rukun Negara dirancakkan semula.

"Kalau dulu buku tulis murid ada tercetak Rukun Negara, walaupun malas hendak baca tetapi apabila hari-hari melihatnya, ia akan tertanam dalam diri.

"Sama juga sekarang, dalam kaedah pembangunan masyarakat, ia perlu disuntik sejak awal lagi setiap hari supaya tersemat dalam diri,” katanya.

Terdahulu, Lam Thye berkata, usaha berterusan wajar dilaksanakan di seluruh pelosok negara ke arah memupuk kesedaran untuk menghayati dan mengamalkan Rukun Negara.

"Ini amat penting bagi kerajaan untuk mempromosikan Rukun Negara bagi menerangkan kepada rakyat terutamanya generasi muda apa makna sebenar Rukun Negara,” katanya.

Kini semuanya terletak pada diri kita. Andai kata mahu negara ini diterajui oleh pelapis yang benar-benar cintakan negara di masa depan kelak, bersamalah menyemai dan menyuburkan prinsip Rukun Negara.