Malaysia kongsi pengalaman tangani Covid-19 dengan Jepun, negara ASEAN lain

Iklan
Petugas KKM membuat persediaan sebelum saringan Covid-19. Gambar hiasan - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia akan berkongsi pengalamannya dalam mengurangkan kesan daripada penularan Covid-19 dengan Jepun dan negara ASEAN lain di Persidangan Maya Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (VMRT) dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun esok.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengetuai delegasi Malaysia pada mesyuarat tersebut.

Iklan
Iklan

"Pada mesyuarat itu, Mohamed Azmin akan diiringi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong akan berkongsi pengalaman kerajaan Malaysia dalam memerangi kesan sosioekonomi penularan Covid-19 dan melindungi rakyat Malaysia,” kata MITI dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mesyuarat yang dihoskan oleh Vietnam itu akan membincangkan pelan tindakan ASEAN-Jepun dalam menghadapi penularan Covid-19 berdasarkan 'ASEAN-Japan Joint Statement on Initiatives on Economic Resilience Action in Response to Covid-19 Outbreak' (Kenyataan Bersama ASEAN-Jepun mengenai Inisiatif Tindakan Ketahanan Ekonomi dalam Menangani Covid-19) yang dikeluarkan pada 22 April, 2020.

Iklan

Mesyuarat itu akan membolehkan Malaysia melalui platform ASEAN untuk menjalin kerjasama dan perkongsian yang lebih erat dengan Jepun dan negara anggota ASEAN yang lain, secara bersinergi dan bersatu untuk memerangi Covid-19 dengan menunjukkan solidariti, visi dan kepimpinan yang kukuh antara ASEAN dan Menteri Ekonomi Jepun.

"Malaysia antara negara dianggap terbaik dalam menguruskan impak Covid-19 akan berkongsi pengalaman dan usahanya dalam mengekang penularan wabak itu dan untuk memberikan keseimbangan pada ekonomi Malaysia.

Iklan

"Antaranya termasuklah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan oleh Malaysia telah menyaksikan pembukaan aktiviti ekonomi untuk memastikan ekonomi berdaya tahan dan pada masa yang sama melindungi kehidupan dan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya. - Bernama