DI kebanyakan negara, dunia politik dinasti bukanlah sesuatu yang asing. Baik di Amerika Syarikat, Indonesia bahkan di Malaysia.
Figura terkenal negara yang kini lebih tersohor dengan gelaran Bossku, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan anak kepada Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 23 Julai 1953, Najib yang merupakan anak sulung Abdul Razak bersama Toh Puan Rahah Mohammad Noah melakar banyak sejarah tersendiri dalam karier politiknya.
Diangkat sebagai Perdana Menteri keenam, beliau merupakan anak perdana menteri pertama mengulangi kejayaan bapanya menjadi ketua kerajaan dalam sejarah politik Malaysia.
Mengimbau kembali susur galur karier politiknya, Najib bergelar orang politik pada usia 23 tahun selepas kematian bapanya secara mengejut pada 14 Januari 1976 akibat penyakit leukemia sewaktu mendapat rawatan perubatan di London, United Kingdom.
Susulan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Pekan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen tersebut dan Najib yang dinamakan sebagai calon menang tanpa bertanding. Beliau menjadi ahli Parlimen paling muda dan rekod itu bertahan selama 42 tahun sebelum dipecahkan oleh P Prabakaran yang menjadi Ahli Parlimen Batu pada usia 22 tahun.
Bermula dari detik itu, beliau yang pada awalnya dilihat terlalu mentah bagi menggalas tugas sebagai ahli Parlimen pada usia 23 tahun meneruskan kesinambungan legasi bapanya.
Pada tahun 1978 iaitu ketika berusia 25 tahun, beliau dilantik menjawat jawatan Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos. Berada pada posisi itu menjadikan Najib seorang Timbalan Menteri paling muda.
Empat tahun kemudian, iaitu pada tahun 1982 hingga 1986, Najib sekali lagi merekodkan sejarah apabila menjadi Menteri Besar paling muda selepas dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun.
Antara jawatan yang pernah disandang beliau bagi mengukuhkan lagi portfolionya ialah jawatan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan pada tahun 1980-1981, Timbalan Menteri Kewangan (1981-1982), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1986-1987), Menteri Pertahanan (1990-1995, 1999-2008) dan Menteri Pendidikan (1995-1999).
Karier politik suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu memuncak pada 3 April 2009 selepas dilantik sebagai Perdana Menteri keenam menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melepaskan jawatan.
Kes kontroversiBermula daripada episod baharu itu, perjalanan Najib dalam dunia politik tanah air menjadi tumpuan baik di dalam mahupun di luar negara.
Ketika menerajui tampuk pemerintahan negara di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), Najib terpalit dengan beberapa kontroversi besar antaranya seorang orang kepercayaannya dikaitkan dengan model dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibunuh pada 2006 dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta SRC International Sdn Bhd.
Impak kepada isu besar itu diburukkan lagi dengan pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad serta dua bekas rakan seperjuangannya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal yang menentang skandal 1MDB dan SRC, menjadi penyebab runtuhnya kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.
Tarikh keramat itu menjadi sejarah penting negara apabila selepas 60 tahun, kerajaan BN tumbang di tangan rakyat. Ironinya sejarah itu dicipta di bawah pimpinan Najib, anak kepada Perdana Menteri kedua negara.
Sejarah melibatkan nama Najib juga tidak berakhir di situ. Selepas kerajaan baharu dibentuk di bawah nama Pakatan Harapan (PH), Najib menjadi bekas perdana menteri pertama diheret ke mahkamah atas pertuduhan berprofil tinggi melibatkan dana 1MDB dan SRC.
Di bawah pertuduhan SRC, Najib berdepan dengan tujuh pendakwaan atas pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC.
Semalam, sekali lagi sejarah tercipta, Najib yang merupakan pemimpin daripada parti kerajaan dan bekas perdana menteri, disabitkan kesalahan di bawah tujuh pertuduhan kes membabitkan skandal SRC.
Bagaimanapun, Najib masih mempunyai talian hayat di beberapa peringkat mahkamah. Namun andai keputusan itu kekal, Najib sekali lagi bakal mencipta sejarah menjadi bekas perdana menteri pertama menghuni pintu jeriji besi.
Bagi Datuk Mustapha Yaakub yang mengenali Najib secara dekat sejak Ahli Parlimen Pekan itu diangkat sebagai Ketua Pemuda UMNO pada 1987, beliau secara peribadi berasa sedih dengan apa yang berlaku terhadap rakannya itu.
"Secara peribadi, sebagai seorang yang bukan sahaja mengenali Najib sejak menjadi Ketua Pemuda UMNO, bahkan saya cukup rapat dengan beliau dan mengetahui sejarah almarhum bapanya sebagai seorang perdana menteri dan tokoh pembangunan orang Melayu terutamanya kepada Felda.
"Jadi apa yang berlaku kepada Najib, saya memang sedih. Saya kecewa dan sedih tetapi itulah realiti politik yang terpaksa Najib hadapi dan terima dengan berlapang dada. Saya yakin dia penuh tabah serta sabar dalam menghadapi dugaan ini,” kata Setiausaha Agung Veteran UMNO itu kepada Sinar Harian semalam.
Malah, akuinya, perjalanan Najib dalam dunia politik selepas kematian bapanya penuh dengan laluan berliku walaupun namanya beberapa kali merekodkan sejarah dalam perjalanan politik negara.
Bagaimanapun, katanya, keputusan Mahkamah Tinggi semalam bukan memberi makna bahawa perjalanan politik Najib berakhir kerana Najib masih mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekali gus membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah.
"Sebab pintu untuk beliau masih belum tertutup. Beliau sendiri pun berkali-kali mengatakan akan berdepan dari satu mahkamah ke satu mahkamah yang lain untuk membersihkan namanya.
"Jadi itulah realitinya. Kalau kita tengok sejarah perjuangan Nelson Mandela, ikon politik Afrika Selatan setelah dihukum kerana mengkhianati negara, meringkuk berpuluh tahun dalam penjara dan akhirnya dia kembali semula sebagai Presiden Afrika Selatan walaupun pada peringkat umur yang agak lanjut,” katanya.