PENERAJU hartanah terkemuka, Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) mengambil langkah proaktif ke arah masa depan pembangunan hartanahnya bagi menyokong aspirasi kerajaan Selangor dengan membangunkan beberapa lokasi Pembangunan Projek Rumah Selangorku (RSKU) Worldwide Holdings.
Projek RSKU itu telah dijenamakan semula sebagai Worldwide Idamanku.
Pemangku Pengurus Besar Bahagian Hartanah, Azmi Ali berkata, Worldwide Holdings membangunkan tiga projek RSKU dengan nilai pembangunan kasar RM101.41 juta yang berkeluasan 2.8 hektar terletak di Subang Bestari dan Puncak Alam, Selangor.
Menurutnya, Worldwide Idamanku adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu bagi menyediakan kemudahan dan keperluan asas disalurkan kepada golongan sasar dari pelbagai lapisan masyarakat.
"Dalam pelan induk projek perumahan, kami turut memperuntukkan untuk pembinaan RSKU. Buat masa ini, terdapat tiga projek hartanah di bawah RSKU yang dikenali Seri Seraya, Seri Musytari dan Seri Aduria.
"Ketiga-tiga projek ini mendapat permintaan yang tinggi sekaligus membuktikan keperluan pasaran bagi produk berkualiti di lokasi yang strategik dan menarik dengan harga berpatutan,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga projek berkenaan adalah seiring dengan Dasar Perumahan Negeri Selangor yang utama iaitu merealisasikan matlamat ‘Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna’ bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami.
Rumah idaman
Azmi berkata, pelancaran kediaman Seri Seraya sejajar dengan kehendak rakyat Malaysia khususnya golongan B40 yang ingin memiliki rumah yang selesa dan mampu milik.
"Seri Seraya merupakan pangsapuri kediaman mampu milik di bawah RSKU jenis C dengan harga RM205,000 dan C (1) dengan harga RM208,500 yang terletak di Bandar Puncak Alam. Seri Seraya mempunyai 280 unit yang mana sebanyak 252 unit merupakan jenis C dan sebanyak 28 unit adalah C (1) yang berkeluasan 900 kaki persegi,” katanya.
Tambahnya, Seri Seraya yang terletak diperbandaran matang berhampiran sekolah, masjid, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, pasar raya, bank dan kedai serta sebagainya.
"Selain kedudukan yang strategik dan sesuai untuk didiami, ia turut memiliki kemudahan akses ke lebuh raya utama dan jalan utama seperti LATAR, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jalan Meru - Kuala Selangor dan Lebuh raya Damansara - Shah Alam Elevated Expressway (DASH) yang masih dalam pembinaan,” katanya.
"Pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi harga rumah tidak melebihi RM300,000 akan dikecualikan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2020 dan pembeli akan mendapat penjimatan sebanyak RM2,000 hingga RM4,000.
"Sila hubungi pegawai jualan kami di talian 03-9212 0447 dan melayari laman web www.worldwideproperty.com.my, rebutlah peluang yang ditawarkan,” katanya.