Aliran trafik ke Pantai Timur dijangka meningkat hari ini

Iklan
Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) ke pantai timur dijangka melonjak lebih 50 peratus, bermula hari ini dan esok.

KUANTAN - Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) ke pantai timur dijangka melonjak lebih 50 peratus, bermula hari ini dan esok.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, jangkaan lonjakan trafik daripada purata trafik harian sekitar 156,000 kenderaan itu berikutan orang ramai akan mengambil peluang pulang ke kampung halaman sempena sambutan hari raya Aidiladha, Jumaat ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berikutan jangkaan peningkatan aliran trafik itu, semua kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di dua lebuh raya berkenaan dibuka kepada pengguna dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi memastikan penjarakan sosial terus dipatuhi.

"Pembukaan semua kemudahan awam di R&R sepanjang lebuh raya kendalian ANIH Berhad ini dibuat mengikut SOP selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi.

Iklan

"Bagaimanapun kemudahan R&R akan ditutup sementara kepada pengguna sekiranya berlaku kesesakan," katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Nik Fauzi berkata, sekiranya ia berlaku, pengguna dinasihatkan meneruskan perjalanan menuju kemudahan R&R seterusnya.

Iklan

"Pada masa sama, pihak konsesi akan terus menjalankan kerja-kerja sanitasi, pembersihan nyahkuman dan nyahcemar sebagai langkah tambahan bagi memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, pengguna diingatkan supaya merancang perjalanan dengan merujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan ANIH Berhad di laman sosial media syarikat iaitu Twitter di @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur bagi membantu melancarkan perjalanan serta mendapatkan maklumat rasmi terkini mengenai fasiliti perkhidmatan dan kemaskini trafik di Lebuhraya KLK dan LPT 1.

Katanya, TTA dikeluarkan bagi membantu pengguna merujuk kepada waktu perjalanan yang sesuai sebelum turun ke lebuh raya.

"Ia bertujuan mengawal jumlah pergerakan trafik dan dilihat sebagai antara pendekatan terbaik membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada satu masa yang sama di plaza tol, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga boleh menyebabkan kesesakan.

"Sebagai pengendali Lebuhraya KLK dan LPT 1, Anih Berhad menyedari kepentingan memastikan lebuh raya sentiasa selamat untuk dilalui," katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan terus memastikan kakitangan serta peralatan-peralatan lebuh raya yang berkaitan sentiasa bersiap siaga untuk memberikan perkhidmatan 24-jam terbaik kepada pengguna..

"Syarikat juga akan terus bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan semua pihak berkuasa lain bagi memastikan Lebuhraya KLK dan LPT 1 berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk dilalui,” katanya.

Beliau berkata, pengguna juga diingatkan sentiasa memastikan baki nilai kad Touch ‘n Go (TNG) sentiasa mencukupi kerana tiada urusan transaksi tambah nilai di lorong tol, manakala Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) di plaza tol pula hanya beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

"Pengguna dinasihatkan supaya membuat tambah nilai terlebih dahulu sebelum memasuki lebuh raya atau membuat transaksi tambah nilai kad di kiosk tambah nilai layan diri (SSK) yang terdapat di Hentian Sebelah Gombak (arah barat sahaja); R&R Genting Sempah; R&R Temerloh (arah timur atau barat); dan Plaza Tol Gambang," katanya.