KUANTAN - Rakyat dinasihatkan tidak memberikan sebarang komen berbaur ancaman dan kecaman terhadap mana-mana institusi perundangan di negara ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya rakyat seharusnya menjadi pemerhati dan mempercayai sistem perundangan negara yang telus dan berintegriti.
"Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk bertenang, sabar dan teruskan berdoa agar keadilan terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat ditegakkan. Ini sekali gus kebenaran yang selama ini kita tunggu akan menjelma jua," katanya dalam satu kenyataan hari ini
Semalam, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah terhadap tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Mengulas lanjut mengenai keputusan itu, Wan Rosdy berkata, sebagai rakyat Malaysia, sewajarnya menghormati keputusan mahkamah dan menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.
Jelasnya, perjuangan untuk mendapatkan keadilan sewajarnya masih boleh diteruskan.
"Masih terdapat lagi ruang untuk beliau (Najib) membela diri di atas pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan oleh Pejabat Peguam Negara Malaysia, di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan nanti.
"Sememangnya kita simpati dengan nasib beliau, yang merupakan seorang pemimpin prihatin dan peka terhadap kebajikan rakyat Malaysia, ini jelas ditunjukkan semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke enam," katanya.