IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengambil keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, keputusan memilih Bersatu dibuat kerana parti itu berada di dalam gabungan kerjasama parti-parti Melayu Islam di dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, tindakan menyertai Bersatu itu juga didorong keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Ya, saya sudah menyertai Bersatu pada 3 Jun lalu dengan mendaftar sebagai ahli biasa seumur hidup. Saya memilih untuk berada di dalam Bersatu atas kepentingan gabungan kerjasama parti-parti Melayu Islam.
"Saya melihat kesungguhan Tan Sri Muhyiddin membawa budaya politik baharu yang menekankan akauntibiliti dan khidmat terus kepada rakyat tanpa ada jurang pemisah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, borang penyertaan diserahkan secara rasmi kepada Muhyiddin di Parlimen hari ini.
Hasnul Zulkarnain berkata, keputusan menyertai Bersatu agak lewat dibuat kerana tidak mahu dianggap mahukan jawatan di dalam kerajaan selain berdepan tekanan-tekanan politik.
Katanya, secara keseluruhan penerimaan rakyat di kawasan Titi Serong amat baik dan akan terus memberikan penerangan dari semasa ke semasa tentang tindakan tersebut.
"Selepas ini, saya akan fokus membantu parti memberi penerangan terhadap apa yang berlaku di dalam parti terutama kem-kem yang wujud di antara Tan Sri Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ahli-ahli akan diberikan penerangan tentang apa yang berlaku supaya mereka tidak keliru," katanya yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah).
Bekas Exco Kerajaan Perak itu mendaftar sebagai ahli Bersatu di dalam Cawangan Kampung Kedah, Parlimen Parit Buntar.
Pada 9 Mac lalu, Hasnul Zulkarnain bersama dua ADUN DAP mengumumkan keluar parti menjadi wakil rakyat bebas selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak berikutan pembentukan Perikatan Nasional (PN).
Bersatu Perak kini mempunyai lima wakil di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak iaitu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merupakan ADUN Chenderiang; ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri dan terbaharu, Hasnul Zulkarnain.