Johor Bahru - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan Muafakat Nasional (MN) merupakan kerjasama politik yang ampuh untuk mencorak masa depan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ujar beliau, dengan kekuatan UMNO dan keharmonian hubungan dengan Pas menjadikan MN sebuah perikatan politik paling realistik dalam membentuk kembali sebuah kerajaan yang stabil serta kuat.
"Dalam MN, Umno-Pas ada satu hubungan matang yang saling menghormati kemampuan dan kelebihan masing-masing.
"Keserasian dan gabungan mantap dua parti utama dalam MN merupakan satu jaminan paling padu untuk mengembalikan demokrasi berpolitik di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Jelas Nur Jazlan, apabila MN bekerjasama untuk berhadapan dengan pihak lawan pada PRU15 nanti, pastinya suatu kekuatan baharu yang wujud dalam landskap politik negara kerana UMNO dan Pas sudah mempunyai rekod cemerlang selama ini.
"Kekuatan MN ini menjadi teras untuk parti seperti Bersatu sertai dan tak perlu lagi ada Perikatan Nasional (PN).
"Kita ada ahli yang ramai, ada kekuatan jentera parti yang kuat dan tersusun jika dibandingkan dengan Bersatu yang serba kekurangan.
"Sebab itulah UMNO memberi tawaran kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk kembali kepada parti itu. Ini kerana hanya dengan menyertai UMNO dan MN, survival politik beliau akan lebih terjamin berbanding bersama PN,” katanya.