KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi kemudahan pinjaman Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) tanpa faedah kepada mereka yang terlibat di dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan (LPPK).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, skim bantuan itu akan diuruskan Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun, katanya, terdapat syarat yang ditetapkan kepada pemohon skim bantuan yang akan diberikan dalam bentuk barangan, perkakas, enjin, anak benih, peralatan dan bantuan kewangan itu.
"Antara syarat bagi pemohon ialah perlu berusia 18 hingga 65 tahun, menyediakan lokasi sebagai bukti bidang yang ingin diusahakan.
"Selain itu, permohonan SBMT perlulah tidak melebihi RM50,000 atau nilaian kelulusannya bergantung kepada jenis sektor yang diceburi dan tempoh bayaran pinjaman bergantung kepada jenis perusahaan,” katanya.
Azman berkata, kerajaan negeri bersetuju meluluskan sebanyak RM5 juta SBMT dengan kadar pinjaman tidak melebihi RM50,000 bagi setiap pemohon dan akan dilancarkan secara rasmi pada 29 Januari ini di Dewan Sivik Jabi.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya terdapat permintaan, peruntukan mungkin akan ditambah.
"Mereka yang berminat untuk memohon pinjaman boleh menghubungi LPKK berdekatan bermula 29 Januari ini untuk urusan pengambilan borang, khidmat nasihat dan tunjuk ajar,” katanya.