PUTRAJAYA - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat (PKPB) mungkin akan dikuatkuasakan semula sekiranya kes positif Covid-19 dalam penularan tempatan meningkat secara mendadak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan tiada pilihan melainkan menguatkuasakan semula PKP seperti yang dilakukan pada awal penularan wabak berkenaan bagi memastikan rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan di dalam komuniti.
"Kalau jangkitan menular dalam komuniti dan tidak terkawal, kita akan bermasalah dan mungkin akan kembali ke PKP atau PKPB.
"Dalam tempoh dua minggu ini, jika ada peningkatan kes secara mendadak dan wujudnya kluster baharu, tindakan akan kita ambil," katanya pada sesi libat urus bersama media di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, ketidakpatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) antara faktor yang menyebabkan jangkitan Covid-19 dalam komuniti meningkat sejak akhir-akhir ini.
Beliau berkata, semasa pelaksanaan PKP, kepatuhan rakyat terhadap SOP adalah tinggi dan pada masa itu, jumlah kes yang positif juga adalah tinggi, namun kealpaan rakyat sekarang ini dalam tempoh PKPP adalah mungkin kerana jumlah kes harian adalah rendah.
"Kena sentiasa ingatkan rakyat Malaysia supaya patuh pada SOP kerana jika tidak patuh kepada SOP dan kes merebak dalam komuniti, kita terpaksa balik kepada PKP.
"Semua rakyat kena duduk rumah supaya KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dapat menjalankan aktiviti lapangan untuk kawal penularan," katanya.
Diminta mengulas berkenaan perhimpunan penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam, Dr Noor Hisham berkata, KKM akan memantau sekiranya ada kes positif dalam kalangan mereka yang hadir.
"Untuk semalam, dah tak boleh buat apa sebab dah berlaku tetapi tindakan kita dalam dua minggu ini ialah memantau sekiranya ada kes positif namun kita harap kes tidak meningkat terutamanya dari Kuala Lumpur.
"Kalau kes meningkat, baru ambil tindakan seperti ada satu kes positif, KKM akan memulakan aktiviti kesihatan awam," katanya.
Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap perhimpunan semalam yang secara terang tidak mematuhi SOP penjarakkan sosial dan pemakaian pelitup muka.
Dalam masa yang sama, ketika mengulas kemungkinan berlakunya gelombang ketiga, beliau berkata, ia akan menyebabkan pasukannya terpaksa bekerja keras lagi.
"Tujuh bulan kami bekerja keras untuk memastikan dan mengelakkan penularan ini, kalau ini berlaku (gelombang ketiga), kita mungkin akan bekerja keras selama empat bulan lagi. Seramai 250,000 pasukan petugas kesihatan mungkin akan kembali bekerja selama 20 jam sehari sekiranya kes kembali mendadak," katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan masyarakat untuk patuh SOP Aidiladha semasa menyambut perayaan itu Jumaat ini.
"Semasa Hari Raya Aidilfitri lepas, kita kawal sempadan dan kita harap masa Hari Raya Aidiladha ini tiada peningkatan kes secara mendadak," katanya. - Bernama