Muhyiddin 'tersenyum puas' Najib dihukum itu tuduhan semberono

Iklan
Muhyiddin, Najib

SHAH ALAM - Tuduhan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kononnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 'tersenyum puas' apabila Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman oleh mahkamah disifatkan sebagai kenyataan bersifat dendam.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, ia juga satu kenyataan semberono dan tidak cermat.

Iklan
Iklan

"Menyebarkan prasangka beginilah yang boleh meruntuhkan bukan saja penyatuan bangsa kita dari pelbagai wadah politik dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Malah jika ditafsir secara serius ia boleh dianggap sebagai suatu bentuk hasutan yang berlandaskan ketaksuban terhadap individu dan kelompok tertentu sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian membidas kenyataan Puad seperti yang dilaporkan portal Free Malaysia Today (FMT) semalam kerana beliau menyebut mengenai dendam kesumat dan Muhyiddin 'tersenyum puas' dengan hukuman yang dijatuhkan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Muhammad Faiz berkata, Puad seolah-olah cukup tidak senang dengan kerajaan PN sejak ia ditubuhkan setelah Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Iklan

Menurutnya, kenyataan yang keluar daripada Puad berkenaan perihal kerajaan hari ini di media lebih bersifat 'friendly fire' dari memperkukuhkan permuafakatan yang didambakan oleh majoriti rakyat Malaysia khususnya kaum pribumi.

"Apakah Datuk Dr Puad tidak menghormati kedudukan dan keputusan presiden parti sendiri yang turut menyokong penubuhan kerajaan Malaysia pada hari ini?

"Walhal ramai yang tahu bahawa perbicaraan kes SRC-1MDB Datuk Seri Najib itu telah berlangsung sebelum Tan Sri Muhyiddin angkat sumpah sebagai Perdana Menteri lagi.

"Malah bekas Perdana Menteri tersebut secara terbuka mahu dirinya terus menghadapi perbicaraan mahkamah untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. Lalu di mana yang dikatakan dendam kesumat itu?" soal beliau.

Justeru itu, Muhammad Faiz melontarkan soalan sama ada Puad mahu Muhyiddin campur tangan kes mahkamah itu hanya kerana sokongan Ahli Parlimen Pekan tersebut terhadap Perdana Menteri.

"Itu yang diungkitkan dalam kenyataan Datuk Dr Puad melalui media semalam. Sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia yang belajar sejarah dan faham sistem pentadbiran negara ini yang memisahkan mahkamah dari politik perlu akur serta menghormati kebebasan mahkamah untuk membuat keputusan.

"Secara peribadi saya sentiasa mempertahankan kemuliaan mahkamah dari sebarang campur tangan orang politik atau tuduhan yang tidak berasas ke atasnya," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, ketika bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam menuduh hakim yang mengendalikan kes SRC tersebut dipengaruhi oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir tahun lalu, beliau telah ke Istana Kehakiman menyerahkan memorandum membidas fitnah tersebut.

"Begitu juga apabila Dr Mahathir pula meluahkan syak wasangka terhadap sistem keadilan negara ini setelah kerajaan PN mentadbir, saya juga menafikan kekhuatiran beliau tersebut secara terbuka di media," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, untuk rekod itu bukan kali pertama Puad mengeluarkan perkataan dendam di media kerana perkataan sama pernah diterbitkan pada 5 Disember 2016 dan 1 Januari lalu.

"Nampaknya perkataan dendam cukup sinonim dengan Datuk Dr Puad. Jangan jadikan Perdana Menteri yang disokong parti sendiri sebagai tempat untuk melempiaskan dendam kesumat tersebut.

"Kenyataan sebegitu tidak memberi nilai tambah kepada imej Datuk Seri Najib yang masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan bagi mempertahankan dirinya," katanya.

Ekoran itu beliau meminta semua pemimpin-pemimpin yang berada dalam Muafakat Nasional dan yang menyokong kerajaan PN untuk lebihkan bersabar, rasional dan matang dalam berbicara.

Katanya, perlu diingat bahawa parti politik hanyalah wadah untuk memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara dan ianya bermula dari suatu penyatuan untuk sama-sama bergerak ke hadapan.