Malaysia disaran contohi AS, UK bimbing remaja stres

Iklan
Wacana Siri ke-183 bertajuk 'Budak sekolah pun stres?' yang disiarkan secara langsung di portal Sinar Harian malam tadi.

SHAH ALAM - Malaysia disyorkan mencontohi negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) dalam memberi bimbingan kepada remaja yang berdepan dengan stres dan isu kesihatan mental.

Ahli Parlimen Seremban Parlimen Digital, Archana Vijai Kumar berkata, sistem pendidikan di AS lebih kondusif dan holistik kerana pelajar diajar langkah-langkah komprehensif untuk menghadapi masalah berkaitan kesihatan mental.

Iklan
Iklan

"Dalam sistem pendidikan negara kita, kita pelajar memang diajar apa itu kesihatan mental, apa impak kesihatan mental kepada kehidupan kita tetapi kita tidak diajar bagaimana cara dapat hadapi masalah ini atau apa langkah yang boleh kita buat untuk menghadapinya.

"Jadi pada pendapat saya kita harus belajar dari negara seperti AS dan UK," katanya selaku panelis pada Wacana Siri ke-183 bertajuk 'Budak sekolah pun stres?' yang disiarkan secara langsung di portal Sinar Harian malam tadi.

Iklan

Wacana itu turut menampilkan panelis Pakar Psikologi Remaja UCSI, Dr Mimi Fitriana Zaini dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Coach Smart Parent, Zaidi Mohd sementara Azlan Shah Nabees Khas selaku moderator.

Mengulas lanjut, Archana yang juga wakil Asia ke Majlis Belia Komanwel berkata, bagi memastikan remaja di negara ini tidak menghadapi stres secara keseorangan, sistem pendidikan di Malaysia perlu lebih konstruktif (membina) agar remaja sedar bahawa langkah pertama untuk menyelesaikan sesuatu masalah mesti datang daripada mereka sendiri.

Iklan

Menurutnya, stigma yang masih menebal dalam kalangan masyarakat negara ini terhadap isu kesihatan mental juga perlu dikikis.

"Perbezaan kritikal antara negara kita dengan negara lain yang saya nampak adalah tentang stigma rakyat Malaysia terhadap isu kesihatan mental.

"Jadi apa yang kita dapat belajar juga dari AS dan UK, stigma terhadap isu kesihatan mental sebegini tidak ada," katanya.

Katanya, sepatutnya tidak ada stigma yang timbul terhadap penyuaraan masalah berkaitan kesihatan mental dalam kalangan remaja.

"Kalau ada stigma, remaja tidak akan dapat menyuarakan pendapat mereka dan mereka tidak akan dapat hadapi stres dengan langkah-langkah sewajarnya," katanya.