SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar pelaksanaan solat sunat Aidiladha di semua masjid dan surau dibuat dengan kaedah kehadiran jemaah secara terbuka di negeri ini.
Unit Korporat Jabatan Agama Islam Selangor menerusi kenyataan memaklumkan, kaedah tersebut dijalankan sehingga kapasiti jemaah sebenar ruang solat dipenuhi selepas penjarakan sosial 1.5 meter.
"Kaedah ini dijalankan di semua masjid dan surau kecuali di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) yang menggunakan E-Pass.
"Bagi kehadiran jemaah Muslimat, kebenaran hanya dibenarkan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dengan had jemaah seramai 220 orang di ruang solat khas Muslimat manakala Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pula dengan had jemaah Muslimat seramai 250 orang di ruang solat khas Muslimat," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, pelaksanaan solat sunat Aidiladha 1441H/2020M bagi semua masjid dan surau di Selangor adalah pada jam 8 pagi.
"Jemaah dinasihatkan untuk kekal berdisiplin dan mematuhi langkah-langkah pencegahan yang telah ditetapkan seperti perlu berada dalam keadaan berwuduk dari rumah, perlu memakai pelitup muka dan perlu membawa sejadah sendiri (ukuran standard).
"Selain itu, jemaah mesti berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala (bacaan suhu melebihi 37.5 darjah celsius adalah dilarang hadir), menggunakan hand sanitizer atau membersihkan tangan ketika hadir dan pulang dari masjid/surau, tidak berjabat tangan dalam kalangan jemaah, perlu hadir lebih awal ke masjid atau surau dan sentiasa mematuhi dan menjaga penjarakan sosial," katanya.
Tambahnya, seperti yang telah dititahkan Sultan Selangor sebelum ini, pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha hanya akan dilaksanakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), masjid daerah, masjid diraja, masjid naik taraf, masjid institusi dan masjid-masjid kariah atau tempat-tempat yang telah ditentukan oleh pihak masjid.
"Sukacita diingatkan kepada semua jemaah dan ahli jawatankuasa masjid dan surau untuk sentiasa mematuhi langkah-langkah pencegahan dan garis panduan yang telah ditetapkan sebelum ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
"Ketetapan yang telah dilakukan ini seharusnya diambil berat oleh semua pihak dalam memastikan kelangsungan peranan institusi masjid dan surau dapat diteruskan dan berjalan lancar ke arah pembinaan kesatuan dan kekuatan umat Islam," katanya.