SHAH ALAM - Kegagalan ibu bapa memahami kehendak dan kecenderungan anak-anak menjadi punca berlaku tekanan dalam kalangan pelajar sekolah hari ini.
Pengasas Smart Parents Network, Zaid Mohamad berkata, ibu bapa perlu tahu membezakan kemampuan anak-anak sebelum memberi sebarang galakan hala tuju hidup mereka.
Menurutnya, perkara itu mampu membantu pelajar untuk berdepan tekanan dengan lebih 'seronok' memandangkan ia melibatkan perkara yang pelajar tersebut mahu dan mampu lakukan.
"Stres ini macam naik gunung sebab itu ada stres yang baik ada yang jahat. Stres yang baik jika kita buat sasaran dan kita tahu kemampuan anak-anak. Misalnya untuk panjat gunung, kita bantu dengan peralatan yang lengkap misalnya.
"Ia akan jadi benda yang menyeronokkan. Tapi yang jadi masalahnya bila mereka tak mampu dan kita (ibu bapa) tak beri bantuan membuatkan mereka stres dan lama kelamaan bila 'meletop' tak boleh undur balik.
"Ini akan beri kesan dari segi fizikal seperti cederakan diri sendiri hingga bunuh diri sebab ada ibu bapa yang tak nampak benda itu," katanya selaku penalis Wacana 183 bertajuk Budak sekolah pun ada stres? di Studio F, Karangkraf di sini semalam.
Menurutnya, ibu bapa tidak boleh menolak bahawa setiap orang mempunyai kehendak dan matlamat berbeza apatah lagi statistik menunjukkan satu dalam empat kanak-kanak adalah orang kelainan belajar (OKB).
Katanya, pada masa sama sistem standard pembelajaran juga mungkin menyumbang kepada isu stres dalam kalangan pelajar.
"Anak-anak sekolah menengah memang stres sebab ibu bapa tak faham kehendak mereka. Jiwa meronta...anak yang baik akan ikut cakap mak ayah di situ akan menjadi pertembungan.
"Tak dinafikan sistem yang sama membuatkan pelajar kategori OKB ini stres tapi tak boleh salahkan sesiapa kerana negara kita negara membangun dan kita perlukan ramai saintis, jurutera...tapi zaman dah tiba di mana kita boleh longgarkan sikit sistem itu dan biarkan anak-anak kita kejar 'passion' mereka.
"Di negara-negara maju, 'passion' itu sendiri boleh membawa perubahan kepada dunia. Ramai pencipta tak masuk kolej pun tapi tak bermakna mereka tak belajar. Mereka belajar sesuatu yang boleh membantu mereka," katanya.