PERAI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 31 juta batang rokok yang bernilai RM2.48 juta membabitkan nilai cukai RM20.72 juta yang dimuatkan dalam tiga buah kontena di Pelabuhan Utara dan Barat Pelabuhan Klang Selangor.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, rampasan itu dibuat hasil risikan yang dibuat oleh Unit Siasatan Dalaman bersama Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang pada Jumaat lalu.
Menurutnya, sebuah kontena berukuran 40 kaki ditahan di Pelabuhan Utara manaka dua lagi kontena berukuran sama ditahan di Pelabuhan Barat.
"Hasil pemeriksaan dilakukan pada satu kontena di Pelabuhan Utara menemui 10.36 juta batang rokok putih pelbagai jenama yang dianggar bernilai RM828,800 manakala dua kontena yang ditahan di Pelabuhan Barat menemui 20.67 juta batang rokok bernilai RM1.65 juta.
"Siasatan awal mendapati kontena yang dirampas di Pelabuhan Utara dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan melalui dokumen yang diperoleh kita mengesyaki rokok putih ini dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Timur," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pencegah Negeri di sini, hari ini.
Hadir sama Penolong Ketua Pengarah JKDM, Datuk Iskandar Jaafar dan Pengarah JKDM Pulau Pinang, Abdul Halim Ramli.
Johari berkata, bagi kes dua kontena di Pelabuhan Barat pihaknya menahan seorang lelaki berusia 40-an yang mewakili syarikat perkapalan untuk membantu siasatan.
Katanya, lelaki berkenaan juga adalah ejen kastam yang diberikan sijil untuk menguruskan pelepasan kargo.
"Siasatan mendapati modus operandi yang digunakan sindiket penyeludupan ini adalah dengan mengikrar barangan dagangan sebagai pam perindustrian dan perkakasan porselin dalam bil penerimaan termasuk perakuan import.
"Kesemua rokok seludup yang tidak membayar cukai ini adalah untuk pasaran tempatan dan dijual di antara RM7.50 sehingga RM9 sekotak," katanya.
Ditanya sama ada pihaknya akan membuat tangkapan lain selepas ini, Johari berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan dan tidak menolak akan ada beberapa lagi tangkapan yang akan dibuat selain sedang mengenal pasti siapakah dalang di sebalik aktiviti penyeludupan rokok yang tidak sah ini.
Katanya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
Johari berkata, orang ramai digesa membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.
Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.