SANAA - Kumpulan pemisah yang memerintah bahagian selatan Yemen selama tiga bulan akhirnya berikrar untuk melaksanakan perjanjian keamanan Riyadh yang terhenti, kata seorang jurucakapnya, Nizar Haitham menerusi Twitter.
Sebelum ini berlaku pertempuran antara Majlis Peralihan Selatan (STC) dengan kerajaan.
Iklan
Iklan
Ia juga telah mengisytiharkan pemerintahan sendiri di selatan negara itu dan Aden sejak April lalu.
Kumpulan itu yang mendapat sokongan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menerima satu cadangan dari Arab Saudi untuk mempercepatkan pelaksanaan Perjanjian Riyadh, kata Nizar.
Beliau berkata, keputusan telah dibuat bagi melaksanakan perjanjian tersebut untuk memastikan kestabilan dan keamanan selain menunjukkan usaha bersama bagi menghadapi militia Houthi serta kumpulan-kumpulan pengganas lain.
Katanya, kumpulan itu juga bersetuju membentuk sebuah kerajaan yang melibatkan pelantikan perwakilan dari utara dan selatan Yemen, melantik seorang gabenor serta pengarah keselamatan di Aden serta menggantikan pasukan tentera dengan sebuah pasukan keselamatan.
Yemen berhadapan dengan peperangan pada Mac 2015 selepas para pemberontak Houthi menawan ibu kota Sanaa menyebabkan presiden negara itu, Abdrabbuh Mansour Hadi menetap di Arab Saudi. - Agensi