PERTUKARAN kerajaan pada 29 Februari lalu sekali gus menyaksikan perubahan orang penting dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah pada akhir Mei lalu mengumumkan ahli perniagaan dan aktivis masyarakat, Zakaria Abd Hamid sebagai Pengerusi baharu Finas menggantikan Datuk Hans Isaac manakala Presiden KRU, Datuk Norman Abdul Halim sebagai Timbalan Pengerusi.
Lebih menarik perhatian apabila penerbit dan pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri kembali ke kerusi panas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif selepas tiga bulan mengumumkan untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya pada 10 Mac lalu atas alasan peribadi.
Seperti biasa, pada awal pengumuman pelantikan Zakaria sebagai Pengerusi, banyak suara yang tidak berpuas hati dengan pelantikan bekas Ketua Cabang PKR itu dan menyifatkan ia ada kaitan dengan politik.
Tidak kurang juga yang mempertikaikan pengalaman dan pengetahuan Zakaria dalam bidang seni lebih-lebih lagi industri perfileman.Bukan hanya Zakaria, Norman juga mendapat tempias rasa tidak puas hati segelintir penggiat seni biarpun figura itu sudah lebih 25 tahun berkecimpung dalam bidang seni termasuk penerbitan filem.Tidak melatah dengan kritikan dan kutukan daripada ‘keluarga’ sendiri, Zakaria bersama kumpulannya membuktikan mereka bukan hanya sekadar duduk di kerusi empuk dan goyang kaki.
Lebih-lebih lagi apabila industri hiburan turut terkena tempias wabak pandemik Covid-19 sehingga merencatkan semua sektor seni.Rancangan
Dalam masa singkat memegang tampuk pentadbiran Finas, mereka mula mengatur rancangan bagi membantu penerbit dan pempamer pawagam bagi merancakkan semula sektor penerbit dan tayangan filem.
Bermula dengan turun padang ke pawagam bagi memantau prosedur operasi standard (SOP) di pawagam, Finas juga memulakan pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) kepada penerbit drama dan dokumentari kepada 23 penerbit terpilih.
Jumlah bantuan keseluruhan RM7.8 juta itu secara tidak langsung akan membantu penerbit memulakan penggambaran dan apabila naskhah mereka ditayangkan di kaca televisyen ia secara tidak langsung akan memberi pulangan semula kepada Finas.
Bukan itu sahaja, agenda utama pemberian dana itu juga bagi mewujudkan peluang pekerjaan terutama kepada pekerja di belakang tabir yang sebelum ini terjejas dan secara tidak langsung dapat merancakkan semula ekonomi penggiat seni yang terjejas. Idham juga dalam temu bual bersama Sinar Plus sebelum ini mendedahkan pemberian DKD kepada penerbit drama dan dokumentari itu akan menjadi fasa pertama dan diikuti dengan fasa kedua iaitu pemberian dana kepada penerbit filem pula.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, Finas masih membuka permohonan DKD bagi kategori Dana Mikro, Dana Pemasaran dan Dana PSA sehingga November depan bagi memberi lebih banyak peluang bantuan kepada penggiat seni.
Lebih menarik, bantuan itu tidak terhad kepada penggiat seni, tetapi Finas juga dalam perancangan untuk memberi inisiatif kepada pempamer filem bagi mengatur strategi menarik orang ramai kembali ke panggung.
Antara inisiatif lain yang masih lagi dalam proses perbincangan adalah kewujudan pawagam pandu masuk yang masih diperhalusi dari setiap aspek.
Apa yang pasti, inisiatif dan pelan daripada Finas tidak akan terhenti setakat itu sahaja kerana masih banyak lagi perancangan mereka yang belum dapat didedahkan secara umum.
Malah penggiat seni juga dilihat kurang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Finas berbanding sebelum ini, kecuali pada satu dua isu yang agak kontroversi dan disifatkan telah disalah tafsir.
Finas diharapkan akan terus telus untuk membantu dan mendengar suara-suara penggiat seni yang selama ini dipandang sepi.