Sebar poster perkauman, bukan kerja BN

Iklan
Mohamad hadir ke Bilik Gerakan MIC Tanah Rata hari ini. Foto Sinar Harian: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

CAMERON HIGHLANDS - BN menafikan ada kaitan dengan penyebaran poster berbaur perkauman dan tuduhan kepada calon lawan, M Manogaran.

Pemangku Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin poster tersebut bukan dari jenteranya.

Iklan
Iklan

"Saya tak nampak poster tersebut dan saya tak yakin ia dikeluarkan BN.

"Itu bukan poster dikeluarkan oleh parti. Kalau poster tersebut dikeluarkan individu atau pihak tertentu, saya tak dapat komenlah," katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan pimpinan MCA di Brinchang, hari ini.

Iklan

Pagi tadi, Manogaran menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan kepada pelaku yang menyebarkan poster tersebut.

Poster yang tersebar di media sosial itu mendakwa DAP sebagai parti agama Hindu dan pembunuh anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Iklan

Wajah Manogaran turut dipaparkan bersama gambar Allahyarham Adib yang terkorban selepas insiden rusuhan di kuil.

Dalam pada itu, Mohamad berharap poster atau risalah yang bersifat perkauman tidak digunakan sebaliknya kempen perlu dijalankan secara sihat.

Menyentuh soal pilihan raya kali ini, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menyifatkan ia kelebihan untuk rakyat Cameron Highlands.

"Kita yakin gandingan calon ahli Parlimen dan Menteri Besar Pahang (Adun Jelai) ini satu kelebihan kepada orang Cameron Highlands.

"Suara rakyat di sini boleh di bawa ke Parlimen dan Kerajaan Negeri Pahang. Kita mesti ada satu parti yang sama untuk selesaikan masalah.

"Tak guna pilih orang yang bukan dari parti yang sama. Masalah air, tanah semua di bawah kerajaan negeri. Saya yakin orang Cameron akan melihat ini sebagai satu peluang," katanya.

Beliau berharap pengundi memberi keyakinan kepada kerajaan negeri.

"Sekarang Menteri Besar Pahang telah pun memulakan langkah positif, permit-permit kepada peladang-peladang yang meneroka secara haram. Ini satu petanda yang baik.

"Saya harap penduduk dan pengundi di sini ambil kesempatan ini, tunjukkan juga kita boleh membalas jasa. Kita juga mahu pengundi memberi keyakinan dan sokongan kepada kerajaan negeri Pahang," katanya.