Super KIP berdepan risiko disingkirkan

Iklan
Khairul Idham (kiri) gagal memberikan impak dalam saingan Moto3 setakat ini.

PELUMBA Moto3 negara, Khairul Idham Pawi bakal disingkirkan daripada pasukan Petronas Sprinta Racing sekiranya gagal meraih kedudukan kelompok 15 terbaik Kejuaraan MotoGP Dunia musim ini.

Amaran berkenaan diberikan prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali yang kecewa dengan persembahan dipamerkan pelumba yang mesra dengan panggilan Super KIP itu selepas tiga perlumbaan Moto3 pada musim ini.

Iklan
Iklan

Beliau menjelaskan 11 baki perlumbaan MotoGP Dunia musim ini menjadi penentu sama ada pelumba berusia 21 tahun itu akan terus mewakili pasukan berkenaan pada musim hadapan.

"Khairul Idham Pawi kena buat sesuatu. Saya pun hairan kenapa banyak pengubahsuaian yang kita buat untuk jentera dia, tapi beliau masih gagal meraih kedudukan terbaik.

Iklan

"Saya tidak pasti dengan masalah dia walaupun jentera sama turut digunakan rakan sepasukan Khairul Idham Pawi iaitu John McPhee,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Razlan menegaskan semua pelumba di bawah pasukan berkenaan termasuk dua pelumba Moto2 iaitu, Xavi Vierge dari Sepanyol dan Jake Dixon dari United Kingdom, mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu dicapai, atau bakal ditukarkan dengan pelumba baharu.

Iklan

Super KIP sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-26 pada Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail pada 8 Mac lalu, serta kedudukan ke-22 dan ke-20 masing-masing pada GP Sepanyol dan GP Andalusia yang berlangsung di Litar Jerez pada 19 dan 26 Julai lepas.

McPhee yang meraih tempat kedua, masing-masing pada GP Qatar dan GP Andalusia pada 26 Julai lepas. Beliau, bagaimanapun, gagal menamatkan perlumbaan pada GP Sepanyol setelah terbabit dalam kemalangan pada pusingan terakhir perlumbaan.

Kejuaraan MotoGP Dunia akan diteruskan dengan GP Republik Czech di Litar Brno dari 7 hingga 9 Ogos ini. - Bernama