TANJUNG MALIM - Rakaman video yang menunjukkan seorang peniaga dalam talian jatuh tergolek gara-gara kerusi yang didudukinya patah semasa siaran langsung (live) di Facebook menarik perhatian netizen.
Ahmad Zikri Samsudin, 18, berkata, kejadian itu tidak dirancang ataupun gimik untuk menarik penonton sebaliknya ia berlaku secara spontan.
Menurutnya, keadaan kerusi plastik yang sudah usang selain berat badannya berlebihan menyebabkan kerusi tersebut patah.
"Kerusi itu memang sudah lama tapi tak jangka pula semasa 'live' ia boleh patah.
"Saya baru sahaja beberapa saat memulakan 'live' untuk menjual pakaian vintage, tak sangka insiden ini berlaku. Mujur ketika itu, belum ramai penonton dan saya sekadar ketawa," katanya.
Sebaik insiden itu berlaku, Ahmad Zikri tetap meneruskan 'live' seperti biasa untuk menjual pakaian vintage berharga sekitar RM10 hingga RM20.
Mengusahakan perniagaan Birth Bundle sejak dua bulan lalu, anak tunggal ini tidak keseorangan sebaliknya dibantu tiga rakannya.
"Selain berniaga, saya juga bekerja sebagai penghantar makanan separuh masa bagi menjana pendapatan.
"Buat masa ini, semua perniagaan berjalan lancar dan berharap terus maju dalam bidang ini," katanya.
Berbalik kepada rakaman video lucu itu, Ahmad Zikri tidak menyangkakan video tersebut tular di laman sosial sekali gus menarik perhatian ramai.
"Asalnya video itu dimuat naik di Twitter oleh rakan saya kerana ia agak mencuit hati.
"Namun tidak sangka ia mendapat sambutan dan bualan warganet. Rata-rata mereka terkejut dan terhibur melihat insiden tersebut," jelasnya.
Rakaman video dimuat naik pada 23 Julai di Twitter yang berdurasi 49 saat telah mencecah hampir 200,000 tontonan.