KUALA TERENGGANU - Perkongsian seorang wanita menceritakan kisahnya yang kehilangan bakal ibu mentua sehari sebelum majlis pernikahan dijadualkan kelmarin mengundang sebak dalam kalangan warganet.
Pelayar Twitter dikenali Nuna berkongsi kisah tersebut hingga tular di laman sosial.
Katanya, tarikh pernikahan 27.7.20 sepatutnya menjadi tarikh bahagia buat dia dan pasangan namun sebaliknya berlaku.
"Beriman kepada qada dan qadar. Ujian yang hebat untuk orang yang hebat je sayang. Awak dan keluarga semua orang yang baik dan kuat.
"Kita tunaikan juga hasrat ibu yang terakhir. Walaupun awak kemalangan sehari sebelum kita nak nikah, kita still teruskan majlis.
"27 dan 20 lambang usia saya dan awak pada tahun perkenalan kita. 7 pula ialah pertemuan kita kali ke-7 iaitu pada hari nikah kita, hari yang paling bahagia. Tapi kali ke-7 saya jumpa awak, Ya ALLAH dugaan yang sangat berat menimpa. Tapi saya ada sayang, saya sentiasa ada dengan awak," ciapnya.
Bercerita lanjut, Nuna berkata, malam sebelum majlis perkahwinan, ibu mentuanya sepatutnya menyarungkan cincin sebagai ikatan pertunangannya namun hasrat itu juga tidak kesampaian.
Biarpun sukar untuk menerima kenyataan, Nuna tetap mempercayai mati itu pasti dan sesungguhnya tidak boleh lari dari qada dan qadar.
"Jika kita beriman kepada rukun iman, Insya-ALLAH, ALLAH kita tidak akan tersesat oleh godaan syaitan yang ingin kita menyalahkan takdir.
"Tiada yang lebih berkuasa melainkan ALLAH SWT. Kita tak boleh nak lari dari takdir yang telah ditentukan-NYA. Ibu pergi dengan tenang sayang, hari yang baik mashaa ALLAH...," tulisnya.
Nuna juga sempat memohon agar warganet mendoakan dan sedekahkan al-Fatihah kepada arwah ibu mentuanya, Baniah Mustam.
"Doakan supaya keluarga kami akan semakin kuat untuk menerima apa yang telah berlaku," katanya.
Allahyarham Baniah Mustam, 57, yang merupakan seorang guru meninggal dunia pada jam 10.30 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu pada 26 Julai.
Allahyarham yang menaiki kereta SUV bersama dua anaknya terlibat dalam kemalangan jalan raya setelah merempuh trak tunda di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).