Nafas baharu golongan penternak

Iklan
Mohd Amirul memastikan lembu-lembu yang diternaknya mendapat bekalan yang mencukupi dan berkualiti.

PENGUMUMAN kerajaan yang membenarkan sambutan Hari Raya Aidiladha diteruskan nyata memberikan kegembiraan buat umat Islam di Malaysia tatkala negara kini berada di fasa pemulihan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia sejak lebih lima bulan lalu.

Berita gembira itu turut memberi sinar baharu buat pengusaha dan penternak haiwan apabila ibadah korban yang dibenarkan pada Aidiladha nanti perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

Rata-rata pengusaha dan penternak menyambut baik pengumuman itu dan mengakui mereka tidak berdepan masalah untuk menyediakan bekalan. Namun terpaksa mengehadkan permintaan pelanggan ekoran perlu mematuhi SOP.

Pengurus Gombak Agro Farm, Abdul Aziz Noor Azuddin bersyukur kerana pihaknya masih mampu menyediakan perkhidmatan yang disediakan setiap tahun itu kepada pelanggannya walaupun permintaan sedikit menurun berbanding tahun lalu.

Iklan

Menurutnya, jualan lembu dan kambing bagi ibadah korban tahun ini susut hampir 50 peratus berbanding tahun lalu dengan jualan mampu mencecah 900 sehingga ke 1,000 ekor.

Abdul Aziz bersyukur kerana pihaknya masih mampu menyediakan perkhidmatan yang disediakan setiap tahun kepada pelanggan.

"Tahun ini, kita hanya mengehadkan penjualan kepada 300 ekor lembu dan kambing, ini bukan kerana kita kekurangan bekalan tetapi disebabkan SOP yang perlu semua pihak ikuti termasuk penternak.

Iklan

"Hanya masjid yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat sahaja boleh melakukan ibadah korban dan pusat-pusat sembelihan yang diiktiraf.

"Situasi itu juga menyebabkan permintaan berkurangan, selain aktiviti seumpamanya tidak dapat dilaksanakan di surau surau sebagaimana sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya perlu menyusun slot bagi melakukan kerja-kerja penyembelihan di ladang milik syarikat.

Walaupun berdepan sedikit kesukaran kerana haiwan ternakan itu hanya diserahkan kepada pihak masjid atau surau untuk mereka melaksanakan penyembelihan, namun SOP itu diikuti sebaik mungkin.

Simpan bekalan

Pengurus Operasi M-Bazaar Sdn Bhd, Saiful Zakuan Samah memberitahu, tahun ini mereka sekadar mampu menyediakan sebanyak 113 ekor lembu untuk tujuan ibadah korban di sekitar Lembah Klang dan Pontian, Johor.

Katanya, pihaknya juga terpaksa berdepan dengan kos-kos tambahan lain apabila terpaksa menyimpan bekalan yang berlebihan untuk tahun depan.

"Sebaik pengumuman ibadah korban dikeluarkan, permintaannya sangat tinggi sehingga memaksa kami untuk mencari bekalan tambahan, bagaimanapun pelanggan terpaksa membatalkan hajat mereka disebabkan SOP penyembelihan yang ketat.

"Jadi kami perlu akur dan terpaksa menanggung kos-kos lain untuk jangka masa setahun lagi termasuklah kos menyimpan haiwan ternakan ini lebih RM6 sehari bagi seekor lembu,” katanya.

Pihaknya juga telah mengemukakan kesemua garis panduan yang diperlukan termasuk keadaan kawasan penyembelihan, peralatan, tenaga kerja (20 orang), swab test dan sebagainya ke Jabatan Veterinar Selangor.

Pengusaha lembu ‘Sado’ di Terengganu, Mohd Amirul Ibrahim mengakui, jualan tahun ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu dan pihaknya terpaksa menolak permintaan pada saat-saat akhir disebabkan kekurangan bekalan.

Menurutnya, jualan daripada kandangnya kini melebihi 200 ekor berbanding 100 ekor pada tahun lalu sambil menyifatkan faktor peningkatan itu berlaku disebabkan umat Islam tidak dapat mengerjakan ibadah haji musim ini.

"Alhamdulillah, selepas kerajaan membenarkan ibadah korban, kami mendapat permintaan yang tinggi bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat bahkan agensi-agensi kerajaan dan juga swasta walaupun harganya sedikit meningkat berbanding sebelum ini.

"Bagaimanapun, kami masih perlu mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak majlis agama negeri dan pihak berkuasa tempatan. Kemudahan rumah penyembelihan di setiap daerah juga memudahkan lagi orang ramai untuk melakukan ibadah korban,” katanya.

Sokongan

Wabak Covid-19 membawa kesan besar kepada ekonomi di seluruh dunia.

Di Malaysia, industri pertanian dan makanan antara sektor yang terkesan dan memerlukan sokongan serta bantuan modal demi memastikan kelangsungan dan jaminan bekalan makanan yang berterusan.

Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan kerajaan termasuk bagi industri pertanian dan makanan boleh menjadi modal pusingan untuk golongan peladang, petani dan nelayan memulakan aktiviti masing-masing selepas semua sektor ekonomi dibuka.

Sebanyak RM400 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi tiga bantuan khusus sektor berkenaan iaitu Skim Pembiayaan Mikrokredit di bawah Agrobank, insentif memudah cara mobiliti kerja pertanian kepada syarikat perantis dan sumbangan in-kind bagi menyokong pertanian bandar.

Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyifatkan inisiatif PENJANA itu sebagai satu pelan komprehensif dan bertepatan bagi membantu memulihkan dan merancakkan semula sektor ekonomi termasuk agromakanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, pengumuman bantuan strategik menerusi PENJANA dilihat bukan sahaja membantu rakyat sepanjang tempoh pemulihan ekonomi yang bersifat fiskal tetapi dapat melonjakkan sektor agromakanan negara.

Suntikan dana itu turut menyokong golongan petani, penternak dan peladang yang terjejas untuk bangkit semula dan meneruskan perjuangan bagi menjadikan industri pertanian dan makanan terus berkembang dan menjamin keperluan rakyat Malaysia pada masa akan datang.