KOTA BHARU - Kepulangan ratusan ribu perantau ke negeri ini bagi meraikan Hari Raya Aidiladha terutama dari lokasi merah dibimbangi menyebabkan kes import jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19) berulang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya tidak mahu perkara sama berlaku seperti kes membabitkan seorang wanita mengandung dari Selangor yang pulang ke Kelantan sebelum sambutan Aidilfitri lalu.
Katanya, pintu sempadan antara negeri terbuka ketika ini membolehkan rakyat Kelantan yang tinggal di luar pulang untuk berhari raya dan jumlah itu dijangka melebihi 100,000.
"Kita tidak tahu dari mana mereka datang, ada dari zon merah dan itu yang dibimbangi meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.
"Rekod di Kelantan setakat ini mencatatkan 160 kes dengan tiga kematian dan kita tidak mahu angka ini berganjak. Jangan ada yang bawa balik kes import,” katanya kepada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.
Beliau berkata, pasukan Task Force digerakkan untuk memastikan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika sambutan hari raya terutama semasa menjalankan ibadah korban.
"Pasukan polis melalui Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan Kereta Peronda Polis (MPV) akan melakukan pemantauan bagi memastikan rakyat mematuhi SOP terutama penjarakkan sosial.
"Rondaan akan bermula selepas solat hari raya dan diharapkan rakyat yang terlebih dahulu mengambil langkah menjaga diri masing-masing di samping pemantauan daripada pihak berkuasa,” katanya.
Kata beliau, tahap kepatuhan SOP Kelantan sebanyak 95 peratus manakala mereka yang degil akan diberi amaran serta diambil tindakan tegas termasuk didenda sehingga RM1,000.
Sementara itu, pada majlis berkenaan sejumlah 284 termasuk 23 pengamal media menerima surat penghargaan sebagai menghargai mereka yang bertugas di bawah kepimpinan beliau.
Antara penerima termasuk dua wartawan dari Akhbar Sinar Harian edisi Kelantan, Adila Sharinni Wahid dan Hazelen Liana Kamarudin.
"Surat ini saya berikan kepada media sebagai menterjemahkan penghargaan terhadap peranan para wartawan dan jurugambar wartawan dalam menyebarkan maklumat yang tepat kepada rakyat.
"Mungkin ini adalah perjumpaan rasmi yang terakhir sebelum saya berpindah ke Kedah selepas Aidiladha,” katanya.