MELAKA TENGAH - Lebih 10 pasang batu nisan termasuk sebahagiannya diperbuat dari batu laterit yang dipercayai digunakan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, berusia lebih 500 tahun ditemui dalam keadaan berselerak di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong, di sini.
Ia ditemui seorang penduduk ketika sedang membersihkan kawasan tanah semak di hadapan rumahnya bagi persediaan untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan anaknya tidak lama lagi.
Penduduk terbabit, Roslan Ramlan, 52, berkata, dia mula melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan itu sejak 6 Januari lalu dengan menggunakan khidmat jentolak.
Menurutnya yang juga seorang peniaga, beliau dimaklumkan oleh pemandu jentolak tentang penemuan beberapa buah batu nisan dan menyarankan supaya ia longgokkan di satu tempat.
"Penemuan beberapa batu nisan ini kemudiannya diketahui orang ramai dan kemudian sampai ke pengetahuan pihak Perzim (Perbadanan Muzium Melaka) dan Jaim (Jabatan Agama Islam Melaka) sehinggalah tindakan pencarian dilakukan pihak terbabit.
"Saya menetap di kawasan ini sejak kira-kira 10 tahun lalu, setahu saya tanah ini bukan kawasan perkuburan dan tidak pernah menemui apa-apa bentuk kubur di sini,” katanya ketika menyaksikan kerja-kerja pencarian beberapa lagi baki batu nisan yang tertanam di kawasan berkenaan.
Turut sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jaim, Datuk Rahimin Bani; Pengurus Besar Perzim, Fadhilah Md Salleh dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Duyong, Anuar Ali.
Salah seorang penduduk yang sudah lama menetap di kawasan berkenaan, Sharif Rahmat, 84, turut menafikan tapak tanah berkenaan adalah kawasan perkuburan dan turut mendakwa kesemua batu nisan terbabit dialihkan individu tertentu dari kawasan lain.
"Saya sudah 84 tahun tinggal di sini, setahu saya kawasan ini tak ada kubur dan segala batu nisan yang ditemui tak diketahui dari mana asalnya,” katanya.
Sementara itu, Fadhilah berkata, berdasarkan pemantauan awal, empat daripada 10 batu nisan yang ditemui diperbuat daripada batuan laterit yang dipercayai sudah ada sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.
Jelasnya, Perzim akan bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan bagi mengenal pasti nilai sejarah penemuan berkenaan serta mengkaji sama ada ia mempunyai hubung kait dengan penemuan batu nisan di Kampung Chohong, Jasin lebih dua tahun lalu.
"Zaman sekarang memang orang tidak menggunakan batu laterit sebagai batu nisan, jadi kita akan membuat kajian selanjutnya termasuk untuk mengetahui usia batu-batu terbabit.
"Berdasarkan bentuk rupa batu-batu nisan laterit berkenaan, si mati berkemungkinan seorang pembesar atau ulama,” katanya.
Dalam pada itu, Rahimin berkata, siasatan lanjut akan dijalankan pihaknya bagi memastikan sama ada batu nisan berkenaan berasal dari kawasan itu atau dibawa dari lokasi lain.
"Bagi memastikan Islam terus terpelihara, kita boleh siasat kerana walau objek berkenaan adalah batu nisan tetapi ianya boleh mencemarkan pandangan masyarakat pada Islam, seolah-olah kita tidak menjaga kesucian agama.
"Sebagai tindakan seterusnya kita akan membawa kesemua batu nisan ini ke tanah perkuburan berhampiran untuk ditanam dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 62 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana mempersendakan agama Islam,” katanya.