KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berpendapat pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya adalah tidak perlu dan membuang masa dan wang serta memudaratkan nyawa rakyat ketika negara berdepan dengan wabak koronavirus (Covid-19).
Mengulas pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang membubarkan DUN hari ini, Musa berkata, beliau tidak terkejut dengan pengumuman itu dan mendakwa mempunyai majoriti mudah iaitu 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 65 untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu tanpa perlu melalui proses pilihan raya.
"Kita akan merayu kepada Yang Dipertua Negeri (Tun Juhar Mahiruddin), kalau boleh, agar dewan (DUN) tidak dibubarkan.
"Dulu pernah ada majoriti mudah, kerajaan boleh (ditubuhkan) berjalan juga...kita tidak perlu pilihan raya lagi sedangkan ada tiga tahun lagi untuk Pilihan Raya Umum seterusnya," katanya pada sidang media khas di kediamannya, di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: DUN Sabah dibubarkan: Shafie Apdal
Menurut Musa, satu surat yang menjelaskan beliau mempunyai sokongan 33 ADUN daripada pelbagai parti itu telah diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri melalui peguamnya.
"Ini adalah kali kedua saya dianiaya...pertama kali saya dipecat sebagai ketua menteri.
"Saya percaya satu keputusan bijak dan wajar akan dibuat oleh Yang Dipertua Negeri untuk melantik saya sebagai Ketua Menteri Sabah," katanya.
Musa menjelaskan alasan ADUN daripada Parti Warisan Sabah, yang dipimpin oleh Mohd Shafie, membuat keputusan kembali menyokong beliau kerana keadaan kerajaan negeri hari ini tidak sehaluan dengan kerajaan pusat.
Katanya, ADUN berkenaan melihat hubungan rapat kerajaan negeri dengan pusat adalah penting bagi memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat berjalan lancar.
"Tetapi sekiranya benar DUN telahpun dibubarkan, saya dengan suci hati mengatakan bahawa kami akan melawan pilihan raya yang akan datang untuk memberi rakyat negeri Sabah satu kerajaan baharu yang stabil dan memperjuangkan kepentingan kesemua rakyat negeri ini,” tegas Musa.
Kesemua 33 ADUN yang menyokong Musa hadir pada sidang media tersebut dan melaungkan"Hidup Tan Sri" selepas acara itu selesai. - Bernama