JOHOR BAHRU - Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang dipersetujui untuk diteruskan oleh Malaysia dan Singapura hari ini, disifatkan sebagai berita gembira buat negeri Johor memandangkan projek pembangunan berimpak besar itu bakal memberi manfaat kepada pelbagai sektor khususnya sektor rel negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, malahan pembangunan yang turut melibatkan depoh penyelenggaraan di Wadi Hana, di sini, juga dijangka membuka peluang pekerjaan dan kepakaran dalam bidang baharu yang dapat diceburi rakyat di negeri ini.
"Saya juga amat yakin dan percaya, melihat kepada persiapan dan juga jadual pelaksanaan projek ini, kerajaan negeri akan membantu dan memberikan sepenuhnya kerjasama agar ia (projek RTS) dapat berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai projek berkenaan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.
Hasni berkata demikian ketika ditanya mengenai impak projek RTS itu ke atas negeri Johor yang mana ia telahpun dicadangkan semenjak 10 tahun lepas dan dipersetujui untuk diteruskan oleh kedua-dua negara hari ini.
Sementara itu, Ketua Pusat Kecemerlangan Industri Pengangkutan Rel (ICOE-REL) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dr Khalid Hasnan ketika dihubungi Bernama berkata, pembinaan projek itu bukan sahaja dapat merancakkan ekonomi dan kelancaran mobiliti, bahkan ia juga akan memberi impak terhadap persekitaran selain peluang mewujudkan pekerjaan.
Bagaimanapun, beliau berharap agar sistem ataupun teknologi yang bakal digunakan dalam pembangunan projek itu tidak hanya tertumpu kepada kepakaran luar sahaja.
"Dari sudut pandangan yang lain, apa pun sistem atau teknologi yang dipilih (pembinaan projek RTS), pembangunan kepakaran sama ada dari segi pemindahan ilmu atau teknologi, ia wajib diambil kira supaya kita tidak lama bergantung kepada kepakaran luar.
"Ia juga perlu melibatkan institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” kata Khalid.
Presiden Persekutuan Tiong-Hua Johor Bahru, Ho Sow Tong yang juga dihubungi Bernama berkata, pembinaan projek RTS itu sudah tentunya menguntungkan kedua-dua rakyat Malaysia dan Singapura khususnya mereka yang bekerja di republik tersebut dan para peniaga di bandar raya ini.
"Kita tahu Tambak Johor mengalami kesesakan teruk yang mengambil masa beberapa jam untuk memasuki Singapura atau ke bandar raya ini bagi mereka yang berulang-alik bekerja di republik itu setiap hari.
"Sudah tentunya, pembinaan RTS ini sesuatu yang ditunggu-tunggu semua pihak bagi menjimatkan masa perjalanan,” katanya.
Bagi peniaga pula, katanya, kemasukan rakyat Singapura khususnya untuk bercuti di hujung minggu dan membeli belah sudah tentunya memberi manfaat kepada mereka.
"Kita tahu ramai rakyat Singapura gemar berkunjung ke bandar raya ini untuk menikmati makanan dan membeli belah. Dengan adanya RTS ini, ia sekali gus meningkatkan ekonomi negeri Johor,” kata Sow Tong.