Yayasan Akalbudi: Lewis & Co terima lebih RM66 juta dari tahun 2016-2018

Iklan
Ahmad Zahid Hamidi - Foto fail

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa firma guaman Tetuan Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima lebih RM66 juta melalui cek daripada individu dan pelbagai syarikat, antara 2016 hingga 2018.

Akauntan firma guaman itu, V. Sothilechmy, 67, berkata, pemilik Lewis & Co, B. Muralidharan mengarahkannya supaya memasukkan cek ke dalam akaun bank firma guaman itu sebelum memindahkan wang tersebut ke dalam dua akaun simpanan tetap.

Iklan
Iklan

"Beberapa pembayaran dilakukan melalui dua akaun simpanan tetap itu antaranya, untuk pembelian dua lot tanah dan bayaran kepada Yayasan Akalbudi," katanya ketika membaca penyataan saksi pada hari ke-30 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu.

Tetuan Lewis & Co mempunyai dua rakan kongsi iaitu Muralidharan dan V. Premshangar.

Iklan

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fat semasa pemeriksaan utama, sama ada individu dan syarikat yang memberi cek lebih RM66 juta tersebut merupakan klien Lewis & Co, saksi itu menjawab"bukan".

Lee: Adakah Datuk Seri Zahid klien Lewis & Co?

Iklan

Sothilechmy: Ya, klien Lewis & Co.

Saksi pendakwaan ke-85 itu juga bersetuju dengan Keng Fat bahawa Yayasan Al-Falah yang dimiliki ahli keluarga Ahmad Zahid, merupakan klien firma guaman tersebut.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-66, Faisalludin Mohamat Yusuff memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid menyumbang RM5.9 juta kepada Yayasan Al-Falah, organisasi yang adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, bagi pembelian dua buah banglo di Country Heights.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 10 Ogos ini. - Bernama