Sinar Harian terus unggul pada usia 14 tahun

Iklan
Sinar Harian menyajikan berita lebih komprehensif.

SHAH ALAM - Banyak organisasi akhbar sudah melaksanakan program transformasi masing-masing bagi menyesuaikan diri dengan trend industri media masa kini.

Tidak terkecuali dengan akhbar Sinar Harian yang melangkah ke dunia digital namun pada masa sama tidak mengetepikan dunia percetakan.

Iklan
Iklan

Pada 31 Julai, akhbar Sinar Harian menyambut Ulang Tahun ke-14 dengan slogan #kekalneutral dan ternyata akhbar yang mula diterbitkan pada 1 Julai 2006 di Pengkalan Chepa, Kota Bharu menjadi akhbar Bahasa Melayu terlaris di Malaysia dan terus unggul.

Perubahan Sinar Harian

Iklan

Bercerita lanjut, sejak lima tahun kebelakangan ini, akhbar arus perdana semakin mengalami kemerosotan sehinggakan semua syarikat surat khabar terpaksa melakukan rombakan besar-besaran mengubah corak operasi.

Begitu juga dengan akhbar Sinar Harian turut terkena tempias kerana media digital dilihat dapat mendemokrasikan maklumat di mana media cetak bukan sumber maklumat tunggal lagi.

Iklan

Rata-rata rakyat di negara ini sudah beralih platform bacaan daripada bahan cetak ke digital terutama tarikan paparan media sosial yang kian menjadi trend masa kini.

Justeru itu, Sinar Harian terpaksa mengambil langkah drastik, mengecilkan pengeluaran lapan edisi negeri kepada empat edisi pada 2018 kemudiannya menjadi satu edisi pada 2019.

Meskipun begitu, Sinar Harian masih diterima masyarakat dan untuk memberi kelainan, edisi Sinar Ahad diterbitkan dengan tagline Membina Perspektif, ia lebih santai dan input lebih segar.

Sinar Ahad bukan sahaja mercu tanda dalam sejarah akhbar ini, malah ia adalah kejayaan pembaca sekalian yang menjadikan akhbar ini terus bertahan.

Sinar Harian menyajikan program seperti Sinar Live, Wacana, Bicara Minda, #cakaplah Sinar, dan Debat Sinar.

Bagi produk digital, Sinar Harian menyajikan program seperti Sinar Live, Wacana, Bicara Minda, #cakaplah Sinar, dan Debat Sinar.

Dalam pemberitaan terutama menerusi program Wacana, Sinar Live, Bicara Minda, Debat Sinar yang mana laporan berita ini diperoleh secara eksklusif.

Malahan dengan tim media digital yang diwujudkan ini telah memberi rencah baharu dalam dunia pemberitaan.

Sejarah Sinar Harian

Untuk pengetahuan, Sinar Harian merupakan akhbar komuniti, yang bersifat neutral, telus dan sentiasa memberi perhatian kepada apa jua masalah, isu berkaitan masyarakat dan meliputi semua aspek pemberitaan.

Sejarah Sinar Harian pertama kali diterbitkan pada Julai 2006, yang edarannya hanya merangkumi negeri Kelantan dan Terengganu.

Pada April 2007, Edisi Pahang pula menyusul. Sebelum itu, Edisi Kelantan dipisahkan dengan Terengganu untuk beri lebih ruang laporan daerah mereka.

Penghujung tahun 2007, Edisi Selangor dan Wilayah Persekutuan pula diterbitkan dan setahun kemudian, Sinar harian diterbitkan di Negeri Sembilan dan Melaka serta Edisi Utara di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Edisi Perak mula diterbitkan pada Januari 2009 seterusnya pada 18 Jun 2010, edisi semenanjung terakhir iaitu Edisi Johor diterbitkan.

Berbekalkan lapan edisi selama lebih 1 dekad, berita pelosok daerah dibentangkan buat pembaca dengan tagline Telus & Tulus malah akhbar ini juga popular perkataan ‘cakna’ yang bermaksud ambil tahu atau prihatin.

Ini kerana ketika itu Sinar Harian mempunyai Skuad Cakna, wartawan dengan kereta Perodua Kancil berwarna merah yang ‘berlegar’ di seluruh daerah untuk mendapatkan berita.

Legasi diteruskan

Dalam meneruskan legasi syarikat, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd mula beroperasi sejak 1978 dalam industri media dan pencetakan dengan kepimpinan yang diterajui Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mula melakukan perubahan struktur di peringkat pengurusan.

Mahu meneruskan kelangsungan operasi syarikat serta dalam meneraju dunia digital yang semakin mencabar, suara anak muda berkaliber dipilih mengetuai Grup Sinar Karangkraf yang menerbitkan akhbar Sinar Harian dan media digital lain iaitu Farah Hussamuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Dalam pada itu, menongkah kepada media digital dan berjinak dalam dunia penyiaran, Sinar Harian pernah menjalinkan kolaborasi dengan Astro Awani pada 2018 sempena Pilihan Raya Umum ke-14.

Pada usia Sinar Harian ke-14, akhbar ini dilihat mampu mengharungi rintangan dan halangan dalam menembusi cabaran dunia digital dan cetak, terus seiring berjalan seperti aur dengan tebing, isi dengan kuku.

Di kesempatan ini juga, Sinar Harian ingin mengucapkan terima kasih kepada pembaca Sinar Harian kerana tidak jemu menyokong selama 14 tahun, kerana andalah Sinar Harian masih bertapak dalam industri media.