IPOH - Juadah Rendang Tok sinonim dengan masakan tradisional Perak. Resipi warisan berusia lebih 100 tahun itu bukan hanya terkenal dalam kalangan kebiasaan malah, menjadi juadah pilihan diraja.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, rendang turun temurun itu menjadi pilihan pesawah dan petani suatu ketika dahulu untuk dijadikan bekalan ketika membanting tulang.
”Rempah ratus yang digunakan seperti ketumbar, jintan manis, jintan putih, lada hitam, kulit kayu manis dan buah keras berfungsi sebagai pengawet semulajadi pada rendang ini.
"Rendang ini boleh disimpan dan tahan selama dua bulan. Keistimewaan inilah, Rendang Tok ini pernah menjadi menu utama untuk hidangan di dalam kapal terbang sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, resipi Rendang Tok yang dipelajari dari ibunya itu menjadi juadah wajib dihidangkan di meja makan apabila tibanya raya.
"Kami sekeluarga akan memasak secara gotong-royong kerana rendang ini perlu dimasak lebih dua jam agar daging lembut dan mempunyai rasa masam, manis, masin, pedas dan berlemak.
"Keunikan rasa itu ternyata telah memikat lidah tidak kira kanak-kanak mahupun warga emas dan enak dimakan bersama lemang, ketupat serta nasi panas.
Wan Norashikin berkata, keunikkan rendang itu adalah rasa rangup ketika digigit kerana ia ditambah isi kelapa yang tidak terdapat pada rendang lain.
Katanya, juadah itu pernah disenaraikan sebagai ikon makanan di negeri itu sekaligus menjadi produk pelancongan utama Perak.
Resipi
Bahan-bahan
Bahan A (kisar)
25 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
4 batang serai
15 tangkai cili kering
Sesudu biji ketumbar
Sesudu jintan manis
Sesudu jintan putih
Sesudu lada hitam
1 kulit kayu manis
4 biji buah keras
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas
Bahan B
1 kg daging batang pinang (potong kuib 3 inci)
Semangku isi kelapa (dihiris nipis)
1 gula kabung
3 keping asam gelugur
3 sudu kerisik
Sehelai daun kunyit (koyak)
Pati santan (3 biji kelapa)
Garam
Gula
Cara memasak
Daging bersama bahan A, santan, gula kabung dimasak dalam kuali dengan api yang sederhana sehingga santan mula kering separuh.
Masukkan daun kunyit, asam gelugur, kerisik dan isi kelapa dimasukkan sehingga santan mulai kering dan daging mula empuk dan diseimbangkan dengan garam dan gula.
Hidangkan bersama lemang dan ketupat.