WASHINGTON - Presiden Donald Trump berkata beliau akan bertindak secepat Sabtu untuk melarang aplikasi video TikTok milik China di Amerika Syarikat, lapor NBC News.
Trump membuat kenyataan itu semasa berbual dengan wartawan di atas pesawat Air Force One ketika penerbangan pulang ke Washington dari Florida pada Jumaat.
"Sejauh mana kita bimbangkan mengenai TikTok, kami melarang mereka dari Amerika Syarikat," kata Trump.
Trump tidak menyatakan sama ada beliau akan bertindak melalui perintah eksekutif atau kaedah lain, menurut NBC News.
"Saya mempunyai kuasa. Saya boleh melakukannya dengan perintah eksekutif atau tidak,” kata Trump.
Komen terbaharu Trump itu menimbulkan kontroversi memandangkan Microsoft dilaporkan telah mengadakan perbincangan untuk membeli aplikasi mudah alih TikTok daripada pemilik China ByteDance, kata satu sumber terdekat kepada CNBC.
Sumber itu menyifatkan perbincangan itu telah lama berlangsung dan bukannya baru.
Trump memberitahu wartawan bahawa dia tidak menyokong perjanjian Microsoft membeli TikTok, lapor NBC News.
Pengambilalihan TikTok dapat menjadikan Microsoft, penyedia utama perisian perniagaan, lebih tertumpu pada teknologi pengguna, yang mana Microsoft telah menjauh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua Pegawai Kewangan Microsoft, Amy Hood berkata, pada tahun 2018 syarikat itu telah konsisten dalam strategi memperoleh aset rangkaian untuk menarik lebih banyak pengguna termasuk LinkedIn.