IPOH - Seorang wanita warga emas maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 8 Jalan Ayer Tawar - Ipoh di sini pagi tadi.
Mangsa, Koh Ah Siew, 73, dipercayai sedang melintas jalan sebelum dirempuh kenderaan terlibat dalam kejadian kira-kira jam 7.23 pagi itu.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang tidak dikenal pasti itu datang dari arah Ayer Tawar menghala ke Ipoh.
"Ketika itu mangsa sedang melintas jalan dan dipercayai akibat jarak yang terlalu dekat menyebabkan kenderaan berkenaan tidak sempat mengelak dan melanggar warga emas terbabit.
"Mayat mangsa yang mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian itu dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat,” katanya.
Menurutnya, polis kini sedang mencari saksi bebas untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mengetahui atau menyaksikan kejadian itu diminta tampil memberi maklumat bagi di balai polis berhampiran," katanya.