PEMENJARAAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah satu signifikan yang mengagumkan kepada kaum Melayu dan budaya politik Malaysia.
Sejak merdeka pada tahun 1957, Perdana Menteri digambarkan sebagai pelindung utama sebahagian besar penduduk.
Sebagai pelindung, beliau bukan sahaja menjadi pemegang jawatan yang paling penting dalam sistem politik Malaysia.
Beliau juga pewaris pihak berkuasa politik yang berakar umbi sejak pemerintahan politik tradisional Kesultanan Melayu selama berabad-abad.
Ekoran melindungi kepentingan rakyat terutama Melayu, beliau berhak untuk tidak dipersoalkan.
Tidak mempersoalkan kesetiaan, tanpa mempedulikan sama ada tindakan Sultan betul atau salah, adalah sifat terpuji dalam hubungan antara pemimpin dengan pihak yang dipimpin.
Walaupun ia sudah terhakis melalui pendidikan, amalan demokrasi dan seumpamanya, sifat tersebut masih kekal melalui UMNO) seperti hujah saya dalam buku berjudul Protector pada tahun 1979.
Buku itu adalah kajian tentang pemimpin dan orang yang dipimpin dari zaman Kesultanan Melaka hingga kini.
UMNO sudah memakai jubah pelindung Melayu selama berdekad-dekad bagi menentang ancaman sebenar dan khayalan sehinggalah 9 Mei 2018 apabila kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Walaupun mengalami kekalahan, UMNO masih sebuah gerakan politik yang mengagumkan. Ia masih kekal sebagai parti politik paling berkuasa dalam kalangan orang Melayu.
Ketidakmampuan musuhnya, Pakatan Harapan (PH) yang memerintah dari bulan Mei 2018 hingga Februari 2020, untuk menunjukkan ia lebih berkemampuan daripada UMNO dalam melindungi kepentingan orang Melayu mempermudahkan UMNO memperkukuhkan kedudukannya.
Tambahan pula, dua pemain utama dalam PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, terlibat dalam permainan wayang kulit berhubung persoalan bilakah seorang daripada mereka sepatutnya digantikan.
Hasil keputusan daripada wayang kulit itu, PH dan sekutunya tidak dapat mengumpulkan tenaganya untuk mengekang dan mengurangkan pengaruh UMNO.
Keputusan mahkamah terhadap Najib yang dituduh melakukan penipuan, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram hakikatnya melibatkan seseorang yang pernah menjadi pelindung yang utama tersebut.
Adakah seseorang sepatutnya mempersoalkan kesetiaan kepada seorang pemimpin? Pastinya, kesetiaan hanya kepada kebaikan. Mana boleh berlaku kesetiaan terhadap kejahatan?
Tidak bolehkah majoriti pemimpin UMNO dan tiga juta anggota akar umbi melihat keputusan terhadap Najib dan perbicaraan melibatkan tokoh-tokoh besar UMNO lain sebagai satu peringatan kepada parti untuk menghapuskan rasuah dan penipuan?
Dengan perkataan lain, tidakkah kejadian yang tidak pernah berlaku itu iaitu bekas Presiden UMNO dan mantan Perdana Menteri dipenjarakan atas tuduhan rasuah mendorong parti itu memeriksa diri sendiri sekali gus melakukan pembersihan jiwa raganya?
Bukan sahaja UMNO yang perlu melakukan pembersihan. Berdasarkan kepada kurangnya ketelusan dalam dana pilihan raya dan pembiayaan politik di negara ini, semua parti politik sepatutnya melakukan pembersihan masing-masing.
Justeru, itulah sebab mengapa cadangan mengenai undang-undang pembiayaan politik dan elektoral yang belum dilihat pada masa ini sepatutnya diberikan perhatian paling tinggi oleh para penggubal undang-undang dan rakyat.
Kita perlu menggalakkan perkara tersebut atas dua sebab. Pertama, sabitan kes Najib mengingatkan kita bahawa badan kehakiman telah mendapati tokoh kenamaan bersalah melakukan penipuan dan menghukum mereka. Tidak banyak sistem kehakiman di dunia yang melakukan perkara itu tanpa rasa bimbang atau memihak.
Kedua, adalah sesuatu yang luar biasa bahawa pihak eksekutif terutamanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendukung ikrarnya tidak campur tangan dalam proses kehakiman walaupun lelaki yang berada di dalam kandang pesalah masih lagi seorang ahli politik yang dianggap tokoh besar dalam UMNO, komponen utama dalam Perikatan Nasional yang memerintah.
Tambahan pula, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dilihat bergantung kepada sokongan daripada parti Najib.
Ia adalah satu langkah berani untuk membenarkan pelaksanaan kedaulatan undang-undang dan keadilan seperti yang diperkatakan Muhyiddin. Beliau mampu melakukannya.
*Dr Chandra Muzaffar ialah seorang cendekiawan sains politik