Jangan bubar dulu Parlimen

Iklan
Kira-kira lima kenderaan dengan satu daripadanya mempunyai lambang Parti Warisan Sabah (Warisan) mengiringi kenderaan Mohd Shafie masuk ke Istana Negeri.

SEBAIK saja berlaku peralihan kuasa di Malaysia pada hujung Februari lalu, sentimen dalam sesetengah grup WhatsApp ialah bicara politik akan mencetuskan pergeseran. Demi memelihara ukhuwah, siapa yang mahu sembang politik, sila buka gelanggang baharu dan kupaslah politik sepuas-puasnya! Sepanjang Julai, larangan ini kelihatan mula kendur sejajar dengan perkembangan politik tanah air.

Ada pengundi yang menyertai perbincangan di Facebook dengan menyelitkan sedikit komen. Mereka ikuti FB page personaliti yang dikenali. Ramai yang zahirkan rasa kagum dengan hujah yang diutarakan. Ada yang elak guna nama sendiri.

Iklan
Iklan

Juga ada tulisan yang tular di grup WhatsApp yang berupa surat layang, cuma tidak dinamakan sedemikian. Teknologi dilihat memberi prestij pada tulisan toksik. Ramai pula yang gemar kongsi artikel hantu sebegini dengan pertanyaan, ‘betulkah ni?’ Akal fikiran sendiri diberi kerehatan.

Hujah

Iklan

Ada pula komentar di platform tertentu kelihatan sudah lama memikirkan idea dan hujah. Langsung tak berganjak. Lebih malang, mereka tidak diminta memberi nama. Keadaan seperti kata orang Utara, bertambah semak perut apabila ada kecenderungan memihak pada parti dan personaliti tertentu.

Tak salah. Cuma pandangan sebegini tidak harus diangkat ke tahap gema suara umum. Tidak banyak manfaat mengkaji pandangan awam sebegini. Hendaknya pembuat dasar tidak pula terdorong menjadikan riuh sorak sebagai panduan isi hati rakyat.

Iklan

Sebaliknya, bayangkan persekitaran di mana ribuan pengundi mengutarakan pandangan dan idea terperinci dengan penuh akauntabiliti. Gunalah semua platform yang sedia ada. Sebagai contoh, perlu lebih banyak sidang video bagi membincangkan isu semasa serta ruang memberi pendapat.

Kebiasaan berfikir secara analitik bakal diwarisi anak muda. Budaya ini juga bakal mewarnai adab perniagaan. Ruang bersama harus diisi ilmu dan keikhlasan.

Timbul persoalan apakah pengundi rata-rata gagal menjalankan tanggungjawab semasa pilihan raya. Apakah benar hanya wakil rakyat layak menentukan hala tuju politik tanah air sepanjang penggal Parlimen dan Dewan Undangan Negeri? Persoalan sebegini sepatutnya sudah lama terjawab.

Penulis tertarik dengan tindakan Datuk Seri Anifah Aman, bekas Menteri Luar, membuat komen mengenai pengurusan dasar luar di tengah-tengah kebangkitan China serta persaingannya dengan Amerika Syarikat. Hampir tiada perbincangan lanjut mengenai pandangan Anifah Aman.

Agaknya platform media online berebut-rebut membawa khabar pertelingkahan politik negara, sehinggakan topik perbincangan yang lebih mendesak semacam terabai. Siaran langsung gelanggang politik pasti ada baik buruknya.

Tak salah kalau dikatakan orang politik harus gusar bila mereka menguasai ruang diskusi. Pengundi yang tercegat di tepi sebenarnya sedang menilai. Mana mungkin kualiti dapat dipertahankan bila asyik-asyik orang sama yang beri pandangan. Benar orang politik mempamerkan tahap stamina dan dedikasi luar biasa.

Penulis pernah mengadakan perjumpaan jam 4 pagi dengan seorang ahli politik yang berkempen pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 2009. Terlalu banyak isu yang mereka perlu rungkaikan. Orang politik turut mempunyai tahap keyakinan sebegitu tinggi.

Hampir tidak ada keraguan dalam mengutarakan pandangan tegas; sama ada mahu menonjolkan diri sebagai pemimpin, mendesak pilihan raya diadakan sekarang, atau menuntut keadilan dalam pembahagian kerusi menjelang pilihan raya yang mereka rasa harus dibuat tanpa lengah.

Stamina sebegini menghasilkan kejutkan penukaran ‘jersi’ parti lebih 11 Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dua hari sebelum Hari Raya Aidiladha tiga hari lalu.

Kini, Datuk Seri Shafie Apdal, Ketua Menteri Sabah daripada parti Warisan, bakal menjadi tumpuan pilihan raya negeri nanti setelah nama beliau turut dikemukakan sebagai calon Perdana Menteri oleh Pakatan Harapan-Warisan-Kumpulan Ahli Parlimen Bersatu diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad. Penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak pula bakal genap lima tahun pada 2021.

Pilihan raya mengikut penggal Parlimen lima tahun dan Dewan Undangan Negeri yang lain dijadualkan pada 2023 dengan disertai jumlah pengundi baharu terbesar dalam sejarah pilihan raya negara. Statistik menunjukkan 7.8 juta pengundi baharu akan disenaraikan dalam daftar pemilih pada Julai 2021. Masih ada ruang bagi jumlah ini terus meningkat menjelang 2023.

Proses pengundian mengikut SOP yang ditetapkan dilaksanakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini 4 Julai lalu. -Foto Bernama

Sementara pengundi matang rata-rata sudah ada pilihan, dan ada keberangkalian keputusan ini tidak berubah, yang dinanti-nantikan adalah pendirian pengundi baharu. Mereka pasti mahu mencorakkan polisi negara dalam guna tenaga melibatkan pekerja asing, teknologi 5G, komunikasi, serta kebebasan bersuara berhemah.

Begitu juga isu pendidikan seperti masa depan kolej-kolej swasta. Tidak wajar dipandang rendah keupayaan mereka berfikir dengan matang dan strategik. Amatlah molek jika masa dua tahun setengah menjelang PRU15 digunakan bagi melibatkan mereka dalam isu-isu besar negara.

Detik bersejarah ini adalah peluang dan harapan besar negara. Peluang penjenamaan negara. Malaysia harus uar-uarkan peralihan ini kepada dunia sebagai pembaharuan berani negara.

Penulis ingin berkongsi kisah Datuk Seri Ahmad Said, mantan Menteri Besar Terengganu, sebagai pemimpin mahasiswa Universiti Sains Malaysia di mana beliau belajar pengertian kesetiaan dan perjuangan. Suasana menuntut pemimpin tampil ke depan. Bila ditoleh tak kesemua yang bersama kita.

Cakap-cakap Ahmad Said mengemudi negeri Terengganu sebagai Menteri Besar selama enam tahun sehingga 2014. Kini, beliau kembali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Banyak yang penulis belajar semasa singgah berbual dengan beliau di Kijal baru-baru ini. Ini termasuk takrif ‘Negeri Terengganu serta Jajahan Takluknya’. Contohnya siapa pemilik tanah dasar laut!

Kini, sudah timbul di permukaan cakap-cakap agar sebaik-baiknya UMNO dan Pas bertanding tanpa muafakat di Terengganu. Walaupun Ahmad Said mengkisahkan sesuatu dengan terperinci, sebagai ahli politik berpengalaman, beliau tidak terburu-buru memberi jawapan pada soalan spesifik. Mengenai hubungan UMNO-Pas di Terengganu, beliau jawab ringkas:"Tiada muafakat di Terengganu.”

Ini tidak lebih daripada satu petanda landskap politik memerlukan sedikit masa bagi mengukuhkan jentera serta penjelasan cita-cita perjuangan setiap parti.

Harapan kita negara tidak terburu-buru mengadakan pilihan raya umum (PRU). Jelas parti-parti politik serta pengundi memerlukan lebih masa. Sebenarnya terdapat pelbagai kemungkinan mengenai bentuk keputusan PRU2023. UMNO sebagai jenama gergasi mungkin kembali sebagai parti dominan sekiranya berlaku perubahan yang umum sedia maklum.

Borneo pula bakal muncul sebagai salah satu pusat pertumbuhan Asia pada masa depan. Ibu negara Indonesia akan berpindah ke Kalimantan. Sabah dan Sa-rawak mempunyai kelebihan keluasan tanah dan potensi pertumbuhan penduduk. Apakah Perdana Menteri seterusnya bakal datang dari Sarawak atau Sabah? Berilah peluang seluas-luasnya kepada segala macam kemungkinan. Juga ruang untuk menambat hati pengundi.