JASIN - Ibu kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 5 Jalan Sialang, Tangkak, Johor sehari sebelum Aidiladha terkilan kerana tidak sempat berpesan supaya anaknya, Allahyarham Siti Nur Syahira Yazid, 19, berhati-hati menunggang motosikal.
Salmi Mustafa, 52, berkata, sebelum kejadian anaknya keluar bersama anak saudaranya, Nur Syaza Nadihra Md Selan, 22, yang turut terkorban dalam nahas itu bagi membeli barangan keperluan mereka di Bandar Tangkak.
Menurutnya, ketika itu dia sedang sibuk menyiapkan juadah di dapur untuk menyambut Aidiladha sebelum anaknya memberitahu hendak keluar membeli barangan keperluan mereka.
"Suara arwah yang meminta izin untuk keluar terngiang-ngiang di telinga saya. Kata dia.."Umi, kakak nak keluar kejap" sebelum dia pergi dengan menunggang motosikal peninggalan arwah ayahnya.
"Sekarang saya masih terkilan kerana tidak sempat berpesan supaya dia hati-hati seperti selalu," katanya ketika ditemui hari ini di Chohong, Jasin.
Jelas Salmi, Siti Nur Syahira dan Nur Syaza Nadihra sering dianggap seperti ‘kembar siam’ kerana begitu rapat di antara satu sama lain sejak kecil dan menghabiskan masa bersama jika mereka pulang bercuti.
Menurutnya, anaknya yang merupakan pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Bendahara pernah merancang untuk membuka perniagaan bersama sepupunya pelajar tahun akhir Politeknik Merlimau Melaka namun tidak kesampaian.
"Anak saya memang seorang yang periang dan peramah. Pemergiannya menyebabkan kami sekeluarga terasa sunyi apatah lagi dia harapan dua adiknya selepas pemergian bapa mereka," katanya.
Sementara itu, bapa Nur Syaza Nadihra, Md Selan Sarip, 55, berkata, walaupun reda dengan kematian anaknya, beliau sekeluarga mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap pemandu kereta terbabit.
Menurutnya, lebih menyedihkan hasrat anaknya untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda tidak kesampaian.
"Walaupun anak-anak kami tak akan kembali lagi tapi saya minta pemandu itu menerima hukuman sewajarnya.
"Kalau boleh saya pun tak mahu ingatkan lagi kejadian itu kerana terlampau sedih dan saya serahkan kepada pihak polis untuk proses selanjutnya," katanya.
Dalam kejadian petang Khamis lalu, penunggang motosikal Siti Nur Syahira, 19, dan sepupunya, Nur Syaza Nadihra, 22, meninggal dunia di Kilometer 5 Jalan Sialang, Tangkak selepas tercampak kira-kira tiga meter.
Kemalangan maut yang hanya kira-kira satu kilometer dari rumah mereka yang berdekatan sempadan Melaka dan Johor itu dipercayai berlaku akibat dirempuh sebuah kereta disyaki dipandu seorang lelaki mabuk.