SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa memalukan jika seorang menteri meminta rakyat mengasihani kerajaan serta menerima kenaikan tarif air tanpa sebarang bantahan.
Beliau menerusi status dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya berkata, ada membaca laporan akhbar berhubung perkara tersebut.
Katanya, jika berita itu benar, memang memalukan apatah lagi kerajaan PH sentiasa melaungkan slogan kepedulian rakyat.
"Saya ada baca laporan akhbar mengenai seorang menteri minta rakyat kasihani kerajaan serta terima kenaikan tarif air tanpa sebarang bantahan. Jika itu benar, ia agak memalukan apatah lagi kerajaan PH sentiasa laungkan slogan peduli rakyat.
"Memang benar, ahli politik hendaklah pandai bercakap dan mengkritik tetapi kebolehan itu sahaja tidak cukup untuk mengurus sumber ekonomi dengan bijak," katanya.
Abdul Khalid berkata, tanggungjawab mengurus sumber ekonomi memerlukan pemahaman serta komitmen untuk mengambil langkah-langkah bijak bagi memastikan rakyat mendapat pulangan terbaik.
Menurutnya, kerajaan yang jujur akan meletakkan kepentingan rakyat dari awal perancangan dan bukannya hanya mengikut rentak dan telunjuk ahli korporat.
"Namun jika ahli politik pilih untuk ambil langkah sumbang, mengapa rakyat pula yang perlu berkorban dan bergolok bergadai?,"soalnya.
Terdahulu, akhbar tempatan melaporkan rakyat perlu melihat keputusan menaikkan tarif air sebagai satu tanggungjawab dan mereka wajar menunjukkan rasa belas kasihan kepada kerajaan.
Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, ia berikutan kos utiliti air ditanggung kini sangat tinggi dan semua itu menggunakan peruntukan kerajaan.
Menurutnya lagi, caj tarif air Malaysia masih merupakan antara yang paling terendah di rantau Asia Tenggara.