PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard mengakui The Blues tidak berada pada prestasi terbaik selepas tewas kepada Arsenal dalam perlawanan akhir Piala FA, awal pagi tadi.
Menurutnya, The Blues bermula baik dalam 15 minit awal permainan dan mampu menjaringkan gol pendahuluan, namun rentak para pemainnya berubah menyaksikan Arsenal mendominasi perlawanan.
"Kami cemerlang dalam tempoh 10 ke 15 minit pertama dengan menjaringkan gol dan mencipta beberapa peluang. Tetapi, selepas itu segalanya tak menjadi dan kami perlu menyalahkan diri kami.
"Kami leka dan mengambil masa terlalu lama menyimpan bola, kami mula bermain hantaran pendek dan tidak serius. Kami membenarkan Arsenal kembali dalam permainan dan sejak detik itu ia menjadi sukar," katanya.
Jelasnya, pada separuh masa kedua mereka cuba bangkit, namun dibelenggu dengan beberapa pemain yang mengalami kecederaan serta layangan kad merah.
"Ada beberapa elemen permainan yang kami telah berjaya perbaiki dan ada lagi perkara yang perlu ditambah baik. Beberapa minggu yang lalu di sini di separuh akhir menentang Manchester United, kami sangat hebat. Kami mengawal permainan, kami menggerakkan bola dan mencipta banyak peluang.
"Kemudian hari ini, kami lambat dan membiarkan Arsenal melakukan tekanan.Kami tidak menunjukkan prestasi yang cukup baik untuk memenangi final,” katanya.
Bagaimanapun, Lampard tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kekalahan tersebut apatah lagi untuk layak ke final dan mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris dalam kedudukan empat terbaik sudah satu pencapaian baik untuk pasukannya.
"Pemain telah memberikan segalanya. Dengan 10 pemain dalam 20 minit terakhir adalah cabaran yang sangat sukar bagi mereka. Sudah tentu kami kecewa malam ini, tetapi melihat keseluruhan musim ini, ia satu nilai tambah yang baik,” katanya.