SHAH ALAM - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Turut merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Pahang, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Ucapan berkenaan dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi baginda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
"Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada DYMM Al-Sultan Abdullah ibni Sultan Hj Ahmad Shah atas pemilihan sebagai Yang di-Pertuan Agong," demikian menurut ucapan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Majlis Raja-Raja berkenan melantik Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, hari ini.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula sekali lagi disandang Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Mesyuarat khas Majlis Raja-raja yang berlangsung di Istana Negara jam 12.45 tengah hari tadi diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu.