JOHOR BAHRU - Perancangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah bertanding 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berasas dan bukan cakap-cakap kosong atau mimpi.
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Harun berkata, hasrat itu mampu direalisasikan berikutan komitmen ditunjukkan parti tersebut di negeri itu terutama di peringkat akar umbi.
"Kita sebenarnya bukan bermimpi tanpa ada asas. Ini (hasrat bertanding 45 kerusi DUN) berdasarkan situasi di kawasan.
"Saya yakin setelah melihat komitmen Bersatu Sabah yang tidak kurang hebatnya. Ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis jentera Bersatu juga digerakkan membantu calon bertanding," katanya selepas merasmikan Azlinda Unity Wellness Centre di Balai Raya Taman Suria di sini hari ini.
Semalam Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kesediaan bertanding 45 kerusi DUN pada PRN dan sudah mengenal pasti kesemua kawasan DUN berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sabah: Bersatu sedia tanding 45 kerusi
Menurut Hajiji, pihaknya sudah bersiap sedia dan akan mengemukakan calon berwibawa, mempunyai kredibiliti, kemampuan memenangi kerusi yang akan ditandingi.
Susulan itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menasihatkan Hajiji supaya jangan bermimpi untuk Bersatu negeri itu bertanding 45 kerusi DUN dalam PRN Sabah akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu Sabah jangan terlalu ghairah tentukan kerusi
Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya menyerahkan soal pembahagian kerusi PRN Sabah kepada pucuk pimpinan parti.
Pada ketika ini katanya, perkara lebih penting ialah rakyat dan Bersatu perlu memberi khidmat terbaik dan tidak menjadikan mereka 'mangsa'.
"Saya juga berharap perbincangan dapat diadakan dengan baik bagi menunjukkan kita dalam satu komponen yang bersama-sama memberi khidmat kepada rakyat," katanya.
Pada masa sama beliau juga berharap lebih ramai calon daripada kalangan Srikandi Bersatu diberi peluang bertanding dalam PRN Sabah.