Pelantikan Agong baharu: Ini harapan rakyat

Iklan
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (kiri) diiringi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad ketika keberangkatan pulang baginda selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pelantikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu, diharap akan terus membawa kemajuan dan keamanan di negara ini.

Rata-rata masyarakat dari segenap lapisan agama, kaum dan latar belakang percaya, pelantikan Sultan Abdullah ini dapat memastikan nasib rakyat dan kemakmuran negara terus terbela.

Iklan
Iklan

Di NEGERI SEMBILAN, bekas Ketua Kampung Batu 17, Chembong, Rembau, Ramli Rasip, 67, berkata pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu ini akan dapat memacu kemajuan negara dan rakyat dapat menjalani kehidupan lebih baik di samping memastikan keamanan terus berkekalan.

Pekerja swasta, K. Mariappan, 74, pula berkata rakyat perlu terus menghormati pelantikan Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengikut lunas Perlembagaan sekali gus bertepatan dengan kebesaran dan kepentingan institusi diraja di negara ini.

Iklan

Seorang peniaga, Leong Weng Onn, 69, berharap Sultan Abdullah dapat memastikan nasib rakyat terus terbela dan memastikan kemakmuran negara ini dapat dinikmati setiap rakyat tidak mengira kaum, bangsa dan agama.

Sementara itu di KUCHING, rakyat Sarawak rata-rata berharap pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu itu akan menjadi cahaya baharu dalam usaha merapatkan jurang perbezaan daripada sudut integrasi nasional antara negeri ini dengan negeri-negeri lain di seluruh negara.

Iklan

Pengawal keselamatan, Ronny Harry, 36, berharap Yang di-Pertuan Agong yang baharu akan menjadi seorang raja yang penyayang, seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan prihatin terhadap kemahuan-kemahuan dan masalah-masalah rakyat jelata.

Bersependapat dengannya, seorang bekas penjawat awam, Mohd Affandi, 57, juga berharap Yang di-Pertuan Agong yang baharu akan bersikap tegas dalam menasihati kerajaan baharu dalam mentadbir negara demi memastikan rakyat memelihara keamanan dan kestabilan dalam negara, selain mengurangkan pertelagahan dalam kalangan ahli politik dan rakyat.

Seorang kerani, Irwan Abdullah, 27, turut berdoa agar Yang di-Pertuan Agong yang baharu akan bersikap sebagai seorang bangsawan mulia dan adil, yang boleh dijadikan contoh yang baik, disukai rakyat dan boleh memainkan peranan dalam mengatasi masalah-masalah berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana ia adalah antara isu penting bagi rakyat Sarawak.

Azerina Sabri, 20, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Samarahan berkata beliau mahu melihat usaha-usaha diambil, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, untuk menambah baik bidang pendidikan seperti penggunaan teknologi baharu dalam pembelajaran.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 6 Jan lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Mesyuarat tersebut turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama, menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.

Di ALOR SETAR, seorang pekerja swasta, Noorazura Abdul Rahman, 38, berkata kesetiaan dan ketaatan kepada Yang di-Pertuan Agong adalah antara elemen terpenting bagi memastikan kelangsungan keamanan dan perpaduan dalam sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum

Sementara itu, Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia, Sani Osman berkata anggota kelab yang terdiri daripada lebih 4,500 anggota juga berjanji akan terus menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong baharu yang merupakan simbol kedaulatan negara.

Di MELAKA, pekerja swasta Zahari Mustapha, 42, berkata sebagai rakyat Malaysia beliau menghormati pelantikan Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengikut lunas Perlembagaan dan berharap baginda dapat terus mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara untuk terus diwarisi generasi akan datang.

Seorang lagi pekerja swasta, Ramlan Omar, 35, yakin dengan penglibatan aktif Yang di-Pertuan Agong yang baharu dalam sukan bola sepak mampu membawa perubahan baharu dalam kemajuan sukan negara.

Sebagai rekod, pada masa ini, Sultan Abdullah merupakan Anggota Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA selain pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Di PERAK, Zahila Ishak, 45, seorang pekerja swasta yakin dan percaya gandingan Sultan Abdullah dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan dapat memastikan rakyat terus terbela.

"Jika Sultan Abdullah dikenali kerana kemesraan dan keprihatinan baginda apabila bertemu rakyat, Sultan Nazrin pula tegas dan lantang mengingatkan kerajaan demi rakyat," katanya.

Sementara itu, Aida Abdul Aziz, 30, berkata sebagai anak jati Perak, beliau melahirkan rasa teruja serta bangga dengan pemilihan Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Di KELANTAN, seorang guru berbangsa Siam di Tumpat, Chau Chan Thi Am, 52, berkata Sultan Abdullah sebelum ini memang terkenal sebagai seorang raja yang cakna terhadap rakyat dan bukan sahaja boleh menyatupadukan semua kaum malah membawa negara ke peringkat lebih tinggi lagi.

Bagi seorang penuntut di sebuah universiti swasta di sini, Ong Li Hwang, 24, pemilihan Sultan Abdullah juga membuktikan kesuburan sistem Raja Berperlembagan di negara ini yang sangat unik di dunia yang memayungi semua rakyatnya.

Seorang pesara, Othman Sulaiman, 62, berharap semua rakyat memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja dengan tidak lagi memberikan komen-komen negatif seperti sebelum ini.

Di KANGAR, Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut mengucapkan tahniah kepada baginda selain mendoakan keperibadian Sultan Abdullah akan membawa rahmat dan keamanan kepada negara.

Wartawan akhbar Nanyang Siang Pau Perlis, Teoh Yang Lam, 60, pula berkata pemilihan Sultan Abdullah adalah tepat kerana baginda memiliki ciri-ciri sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk memacu kecemerlangan negara selain sangat dikenali segenap lapisan rakyat terutama semasa baginda menyandang jawatan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perlis, Siti Berenee Yahaya menyifatkan Al-Sultan Abdullah seorang pemimpin yang disukai rakyat malah pemilihan baginda juga tepat berdasarkan sistem penggiliran.

Di PULAU PINANG, aktivis politik Rahmad Isahak berkata rakyat seharusnya rasa bersyukur dan sukacita dengan pemilihan itu kerana dapat menyaksikan pertama kali dalam sejarah pelantikan Yang di-Pertuan Agong dibuat dua kali dalam tempoh lebih dua tahun.

Beliau berharap gandingan Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin Shah dapat membawa satu era perubahan baharu demi kebaikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. - Bernama